rnoraina@hmetro.com.my
Sepang: Polis mengklasifikasikan kematian penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya, kelmarin sebagai bunuh susulan kecederaan yang dialami mangsa.
Difahamkan, wanita berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia kerana kecederaan di kepala yang disebabkan hentakan objek tumpul.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa di sebuah unit kediaman pada 10.28 pagi.
“Siasatan awal di lokasi tidak menemukan sebarang kesan pecah masuk di kediaman mangsa.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala mangsa. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Bagaimanapun, katanya, tiada kesan kecederaan lain yang boleh dikaitkan dengan rogol.
Norhizam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Husny Hussien di talian 012-9307860 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau juga menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat tidak benar yang boleh menjejaskan siasatan serta tidak mengambil tindakan melanggar undang-undang.
Harian Metro malam tadi melaporkan, wanita berusia 20 tahun berasal dari Kuching, Sarawak ditemui mati dipercayai dibunuh dalam bilik asramanya.
Sumber dilaporkan berkata, mangsa yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi sebuah universiti di Cyberjaya, tinggal di bilik berkenaan bersama lima rakannya.
Bagaimanapun, lima rakan mangsa sudah pulang bercuti sejak 21 Jun lalu, manakala mangsa tinggal bersendirian kerana dijadualkan menghadapi peperiksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd