New Delhi: Seorang penuntut di Universiti Delhi berusia 19 tahun yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu ditemukan mati di Sungai Yamuna, semalam.
Menurut portal NDTV, penuntut itu, Sneha Debnath berasal dari Tripura dan mayatnya dikenal pasti oleh ahli keluarganya. Mayat mangsa sudah dihantar untuk bedah siasat.
Keluarga Sneha di Tripura berusaha mencarinya sejak kehilangannya enam hari lalu. Difahamkan, dia menaiki teksi ke Signature Bridge di utara Delhi pada 7 Julai.
Menurut polis, Sneha meninggalkan nota tulisan tangan yang menunjukkan hasrat untuk membunuh diri.
Sumber polis memaklumkan bahawa gangguan emosinya tidak berpunca daripada pelajaran, sebaliknya berkaitan dengan masalah keluarga.
Dalam siasatan, polis menjejaki pergerakan Sneha melalui pemantauan teknikal dan mengesahkan lokasi terakhirnya ialah di Signature Bridge.
Mayatnya ditemukan di Sungai Yamuna berhampiran jejambat di Geeta Colony kira-kira 10 kilometer (km) ke hilir dari Signature Bridge di kawasan Majnu Ka Tilam, utara Delhi.
“Pemandu teksi yang menurunkannya di lokasi terbabit mengesahkan kenyataan itu. Beberapa saksi mendakwa mereka melihat seorang gadis berdiri di atas jambatan dan kemudian hilang dari pandangan,” kata polis dalam satu kenyataan.
Operasi mencari dilancarkan dengan bantuan Pasukan Tindak Balas Kebangsaan (NDRF) dan unit-unit polis. Mereka melakukan pencarian dari Nigam Bodh Ghat di utara Delhi hingga ke Noida di Uttar Pradesh.
Polis memaklumkan Sneha menghantar e-mel dan mesej kepada rakan-rakan rapatnya pada awal pagi 7 Julai.
Rakan-rakannya memberitahu penyiasat bahawa gadis itu kelihatan tertekan dan mengalami gangguan emosi sejak beberapa bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd