am@hmetro.com.my
Kulim: Seorang wanita sanggup mengambil kesempatan ketika ketiadaan rakan-rakan untuk membawa teman lelaki bermalam di rumah sewanya di Kulim Hi Tech, di sini.
Bagaimanapun, perbuatan maksiat mereka berjaya dihidu sebelum mereka dicekup berkhalwat oleh anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) jam 12.55 tengah malam tadi.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, wanita berusia 24 tahun itu membukanya kira-kira lima minit kemudian dan membenarkan pemeriksaan dilakukan di rumah teres dua tingkat itu.
Beliau berkata, ketika itu wanita terbabit memakai baju tidur serta menutup kepala dengan tuala.
“Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki yang bersembunyi di bilik sebelah yang pintunya berkongsi bilik air dengan biliknya.
“Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu bukanlah pasangan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan kegiatan maksiat di rumah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar Sharifudin berkata, pasangan itu mengaku mengenali sejak empat tahun lalu ketika belajar di universiti sama.
Beliau berkata, lelaki itu juga kini masih menuntut di universiti sama dan hanya dua bulan lagi akan tamat pengajian di tahun akhir.
“Pelajar lelaki berusia 25 tahun itu berasal dari Pahang dan sanggup datang dari Perlis menggunakan perkhidmatan keretapi untuk datang ke sini sebelum dijemput wanita terbabit di Tasek Gelugor, Pulau Pinang sebelum dibawa ke rumah itu.
“Rumah itu disewa wanita itu bersama tiga rakannya namun ketika kejadian rakan-rakannya tiada di rumah dan kesempatan itu diambil untuk membawa masuk lelaki berkenaan.
“Wanita itu yang berasal dari Kelantan itu bekerja di sebuah kilang di Hi Tech sejak empat bulan lalu,” katanya.
Anwar Sharifuddin berkata, berikutan itu pasangan terbabit ditahan kerana disyaki berkhalwat dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




