Penuntut warga asing maut dipercayai terjatuh tingkat lima

Penuntut warga asing maut dipercayai terjatuh tingkat lima

hafidzul@hmetro.com.my

Cyberjaya: Warga asing yang juga penuntut universiti tempatan ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah kondominium di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 2.00 petang, dengan pengadu memaklumkan terdapat lelaki ditemui tidak sedarkan diri di hadapan lobi kediaman berkenaan.

“Pasukan daripada Balai Polis Cyberjaya dikerahkan ke lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati mangsa terbaring tertiarap di lantai lobi dalam keadaan berlumuran darah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norhizam berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 39 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan yang menempatkan unit kediamannya.

Katanya, pasukan forensik yang melakukan siasatan di lokasi mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Cyberjaya untuk dibedah siasat,” katanya.

Pihak polis mengingatkan orang ramai agar menghormati sensitiviti kes dengan tidak menyebarkan spekulasi yang tidak berasas.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diseru untuk menyalurkannya kepada pihak berkuasa dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di talian 03-87774222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top