mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan artis tanah air menyambut baik keputusan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh menurunkan kadar deposit cagaran bagi aktiviti konsert, pertunjukan pentas dan kebudayaan di Kuala Lumpur bermula 1 Mei ini.
Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid berkata, langkah ini adalah satu keputusan tepat yang mampu membantu merancakkan semula industri hiburan tempatan yang sekian lama terkesan.
“Penurunan deposit ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada penganjur acara, malah membuka lebih banyak peluang kepada artis tempatan untuk kembali aktif berkarya serta menjayakan persembahan yang lebih berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ayob menjelaskan, IRAMA percaya langkah proaktif itu akan memberi kesan positif kepada ekosistem industri muzik negara, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif dan sektor pelancongan.
“Kami berharap sokongan seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan industri hiburan tempatan terus berkembang, berdaya saing dan mampan di masa hadapan,” tambahnya.
Terdahulu, Hannah mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kadar deposit cagaran bagi pelbagai aktiviti seni sebagai tanda sokongan kepada kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Menerusi skim baharu itu, kadar deposit bagi artis tempatan dikurangkan kepada RM4,000 (pertunjukan pentas) dan RM10,000 (konsert). Manakala bagi artis antarabangsa, kadar diturunkan kepada RM8,000 (pertunjukan pentas) dan RM15,000 (konsert).
© New Straits Times Press (M) Bhd




