georgie@hmetro.com.my
PENTAS Healing yang menjadi jenama anjuran Gamon Solution bukan lagi nama asing dalam kalangan pencinta muzik tanah air. Malah, penganjurannya sering dinantikan ramai.
Selepas membina nama, jenama dan komuniti kukuh, Gamon Society optimis melebarkan sayap mereka dengan mengadakan konsert yang semestinya mampu menggegar iaitu Gamon Music Fantasia pada 25 Januari tahun depan.
Acara itu bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang membariskan lima nama besar iaitu Hujan, Bunkface, Ruffedge serta dua band Indonesia, d’Masiv dan Kangen Band.
Pengurus Projek, Syafiq Danish berkata, keterujaan mereka mahu menjayakan acara itu sebenarnya tercetus daripada permintaan peminat setia serta pengikut jenama berkenaan.
“Idea anjurkan Gamon Music Fantasia dicetuskan peminat yang minta kami anjurkan konsert lebih besar. Ini ibarat penutup kepada pentas Healing tapi lebih kepada berskala besar.
“Memang kami rancang nak buat di Pulau Pinang kerana kebanyakan peminat yang sertai acara ini sebelumnya berasal dari utara tanah air.
“Faktor utama pemilihan band pula dibuat berdasarkan populariti, sokongan peminat dan kualiti muzik, selain sesuai dengan genre yang kami bawakan,” katanya.
Sudah berlangsung di tujuh lokasi sebelum ini, Syafiq menjelaskan, sebenarnya bukan semua band terbabit berkonsep muzik healing sepenuhnya. Ada juga gabungan pop rock.
“Kami pilih mereka hasil tinjauan peminat. Daripada konsert dibuat sebelum ini, ada undian peminat mahukan nama-nama ini.
“Kami pernah buat pentas Healing di Ipoh dan dalam 10 minit, tiket terjual 2,000 keping. Ia menakjubkan.
“Untuk kali ini, Pulau Pinang dipilih kerana tiada lagi mana-mana konsert sebesar itu diadakan di sana. Setia Spice Arena pula jadi lokasi pentas akhir untuk semua jelajah sebelum ini kerana boleh muatkan ramai kapasiti peminat,” katanya.
Menceritakan secara lanjut konsepnya, menurut Syafiq, tema fantasi dijadikan elemen utama sebagaimana namanya iaitu Gamon Music Fantasia. Menariknya jenama itu sudah ada nama kelab peminatnya.
“Kami nak puaskan hati kelab peminat yang kami gelarkan Gamongers kerana ia ibarat konsert fantasi mereka. Jadi apa yang mereka nak sebelum ini, dekat mana dan band apa, kami pasti bawakan.
“Ibaratnya Gamon Music Fantasia seperti mimpi jadi kenyataan kepada semua pengikut kami. Ada kejutan menanti untuk peminat yang datang membeli tiket menonton nanti.
“Kami berharap konsert ini dapat sambutan peminat di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Utara Perak. Hujan dan Ruffedge pun lama sangat tak ke utara, manakala d’Masiv dan Kangen Band tidak pernah beraksi di sana sebelum ini,” katanya.
Tidak berfikir panjang, Ruffedge juga menyambut tawaran itu dengan penuh keterujaan.
Anggotanya, Azan mengakui rindu bertandang menghiburkan peminat sebelah utara kerana terlalu lama tidak ke sana.
“Alhamdulillah, Ruffedge bersyukur terbabit dengan beberapa festival muzik yang bagus semenjak ‘comeback’ pada 2018. Tapi perbezaan kali ini lokasinya iaitu di utara tanah air.
“Lama sungguh kami tak beraksi di Pulau Pinang. Memang mengimbau. Kami doakan semoga selain dari cuaca baik, segala persiapan Gamon dipermudahkan dan berjalan dengan lancar insyallah” katanya.
Sudah tentu kemunculan dua band Indonesia itu nanti juga bakal membawa impak terhadap konsert dibawakan Ladyboss Entertainment dan COF Music itu kerana untuk julung kalinya, mereka dibawa beraksi di luar Kuala Lumpur.
Konsert terbabit yang dijangka berlangsung selama tiga jam itu ternyata mendapat sambutan cukup mengalakkan. Jualan tiketnya terus mencecah lebih 2,000 walaupun publisiti belum dibuat secara meluas.
© New Straits Times Press (M) Bhd