Penutupan IBM di Cyberjaya membimbangkan, kata Anwar

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
IBM mengumumkan pusat operasi mereka di Cyberjaya akan ditutup 31 Mei ini.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyifatkan penutupan syarikat gergasi International Business Machines Corporation (IBM) di Cyberjaya pada 31 Mei ini membimbangkan dan menambah kerisauan rakyat.

Beliau berkata, pengumuman IBM itu dibuat selepas banyak pengumuman hampir sama oleh pelbagai syarikat gergasi yang mula meninggalkan Malaysia.

“Termasuk Hyundai dan Panasonic. Namun, terdapat juga laporan mengatakan terdapat negara lain di rantau ini yang berjaya mendapat kadar pelaburan cukup memberangsangkan dari syarikat-syarikat berasaskan teknologi yang tersenarai dalam Fortune 500,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, IBM mengumumkan pusat operasi mereka di Cyberjaya akan ditutup dan ini bakal menjejaskan kira-kira 3,000 pekerjaan bernilai tinggi.

Ini menyusul langkah syarikat IT Jerman, T-Systems dengan lebih 800 pekerja di Cyberjaya menarik diri dari Malaysia Nov tahun lalu.

Anwar berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) kelihatan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Katanya, menteri kanan yang bertanggungjawab ke atas pelaburan asing menyatakan Malaysia mampu bersikap selektif dan berusaha mendapatkan pelabur besar sambil menolak pelabur berskala kecil.

“Ketika Malaysia terus kehilangan ribuan pekerjaan dalam sektor teknologi dan pembuatan kepada negara jiran di rantau Asean, kami sangat bimbang dengan rakyat yang terkesan dengan langkah ini, dan apakah kerajaan PN mempunyai kemampuan untuk menangani permasalahan ini.”

Anwar mendapati reaksi santai menteri bertanggungjawab itu hanya menonjolkan sikap kerajaan tidak memahami realiti semasa yang dihadapi negara.

Katanya, ketidaktentuan politik susulan perubahan dalam kerajaan pada Mac tahun lalu memberi tekanan kepada jangkaan dasar serta prospek penambahbaikan dalam piawaian tadbir urus.

“Setelah satu tahun berada di puncak kuasa, kerajaan PN masih gagal mendepani secara jujur persoalan terkait keberkesanan mereka sebagai kerajaan yang lemah tanpa mandat legislatif yang jelas.

“Perisytiharan darurat dan tindakan menggantung Parlimen diandaikan sektor swasta sebagai langkah terdesak untuk terus berpaut pada kuasa,” katanya.