Penutupan Masjid Al-Aqsa masuk hari ke-29 susulan sekatan berterusan

Penutupan Masjid Al-Aqsa masuk hari ke-29 susulan sekatan berterusan
Penutupan Masjid Al-Aqsa masuk hari ke-29 susulan sekatan berterusan

Anggota keselamatan Israel melihat penduduk Islam menuju ke perkarangan Masjid Al-Aqsa untuk solat Jumaat di timur Baitulmaqdis – Foto AFP

BAITULMAQDIS – Pihak berkuasa Israel terus menutup kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis yang diduduki, sekali gus menghalang jemaah daripada memasukinya untuk hari ke-29 berturut-turut dengan alasan keselamatan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Langkah ini berlaku seiring dengan pengasingan berterusan Bandar Lama Baitulmaqdis melalui sekatan ketenteraan dan penempatan besar-besaran pasukan Israel di seluruh kawasan kejiranannya, dengan hanya membenarkan penduduk masuk.

Pada hari Jumaat, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan ketat yang menghalang solat Jumaat daripada diadakan di Masjid Al-Aqsa.

Polis ditempatkan secara besar-besaran di pintu masuk Bandar Lama dan pintu masjid, menghalang jemaah serta memaksa ratusan orang menunaikan solat di jalan berhampiran.

Penutupan ini, yang berterusan sejak akhir Februari, berlaku dalam keadaan langkah keselamatan yang belum pernah berlaku sebelum ini, selaras dengan pengisytiharan darurat.

Sekatan bukan sahaja tertumpu kepada tapak suci umat Islam. Gereja Holy Sepulchre juga kekal ditutup kepada penganut dan pelawat, mencerminkan dasar menyeluruh untuk mengasingkan bandar suci itu.

Di kawasan berhampiran Baitulmaqdis, pasukan Israel mengejar jemaah yang cuba berkumpul di Jalan Salah al-Din dan kawasan berhampiran tembok Bandar Lama. Mereka menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka dan menghalang solat berjemaah di luar kawasan masjid.

Saksi berkata hanya pengawal Al-Aqsa dan kakitangan Jabatan Wakaf Islam dibenarkan berada di dalam kawasan masjid.

Solat diadakan di dalam dewan solat berbumbung dengan jumlah terhad, manakala kawasan halaman luar kekal kosong tanpa kehadiran jemaah yang biasanya memenuhi ruang itu ketika solat Jumaat. – Bernama

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Pihak berkuasa Israel menutup kawasan Masjid Al-Aqsa selama 29 hari berturut-turut atas alasan keselamatan.
  • Bandar Lama Baitulmuqaddis diasingkan dengan sekatan ketenteraan, hanya penduduk dibenarkan masuk.
  • Polis Israel menghalang solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, memaksa solat diadakan di jalan berhampiran.
  • Penutupan ini termasuk Gereja Holy Sepulchre, menandakan pengasingan bandar suci.
  • Hanya pengawal dan kakitangan Jabatan Wakaf Islam dibenarkan dalam kawasan masjid, pembatasan solat dilakukan.
Scroll to Top