
Keputusan itu terpakai kepada semua kes yang melibatkan individu yang tidak dapat meninggalkan negara berkenaan.
ABU DHABI – Pihak Berkuasa Persekutuan bagi Identiti, Kewarganegaraan, Kastam dan Keselamatan Pelabuhan UAE memutuskan untuk mengecualikan individu yang tidak dapat melakukan perjalanan daripada denda akibat lewat meninggalkan negara itu berikutan keadaan luar biasa yang sedang menjejaskan rantau berkenaan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Keadaan itu menyebabkan penutupan ruang udara serta penggantungan sementara beberapa penerbangan.
Pihak berkuasa berkenaan menjelaskan bahawa keputusan itu terpakai kepada semua kes yang melibatkan individu yang tidak dapat meninggalkan negara itu, termasuk pelawat yang memegang visa lawatan, visa pelancong atau permit keluar, selain penduduk yang telah membatalkan permit pemastautin mereka sebagai persediaan untuk berlepas.
Pengecualian itu terpakai kepada denda yang dikenakan pada atau selepas 28 Februari, sekali gus memastikan status undang-undang mereka dapat ditangani tanpa mengenakan sebarang beban kewangan yang timbul akibat keadaan luar biasa di luar kawalan mereka.
Pihak berkuasa itu menegaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat sebagai tindak balas terhadap keadaan di luar kawalan pengembara yang menghalang mereka daripada meninggalkan negara itu pada tarikh yang dijadualkan.
Langkah itu mencerminkan pendekatan kemanusiaan UAE dalam menangani situasi kecemasan serta mengambil kira keadaan luar biasa yang dihadapi oleh pengembara dan pelawat.
Pihak berkuasa itu turut memaklumkan bahawa pasukan khusus di seluruh lapangan terbang negara itu dan Pusat Kebahagiaan Pelanggan terus beroperasi selaras dengan pelan kecemasan serta kesinambungan perniagaan, dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa berkaitan bagi memudahkan prosedur dan menangani kes berkaitan kelewatan atau penjadualan semula penerbangan, selain menyediakan sokongan yang diperlukan kepada pengembara yang terjejas.
Pihak berkuasa itu menyeru semua individu yang terlibat agar mengikuti saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini serta sebarang langkah kawal selia berkaitan keadaan berkenaan, sambil menegaskan komitmennya untuk mengekalkan tahap kesiapsiagaan dan tindak balas tertinggi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan serta sokongan kepada pengembara dan pelawat dalam semua keadaan. – Bernama
Ringkasan AI
- Pihak Berkuasa Persekutuan UAE mengecualikan individu yang lewat meninggalkan negara dari denda akibat keadaan luar biasa yang menjejaskan rantau tersebut
- Keadaan luar biasa menyebabkan penutupan ruang udara dan penggantungan sementara beberapa penerbangan
- Pengecualian denda terpakai kepada semua kes termasuk pelawat dengan visa lawatan dan penduduk yang membatalkan permit pemastautin
- Keputusan ini dibuat sebagai tindak balas terhadap keadaan di luar kawalan yang menghalang individu meninggalkan UAE pada waktu yang dijadualkan
- Langkah ini mencerminkan pendekatan kemanusiaan UAE dan komitmen untuk menyediakan sokongan kepada pengembara terjejas



