Penutupan sekolah di 7 daerah di Kelantan disambung sehingga 1 Mei

Penutupan sekolah di 7 daerah di Kelantan disambung sehingga 1 Mei

nfazlina@bh.com.my

KOTA BHARU: Penutupan sekolah di tujuh daerah di Kelantan disambung sehingga 1 Mei ini, susulan peningkatan kes COVID-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Zulkernai Fauzi, menerusi surat pemakluman berkata, bagi sekolah di tiga daerah lain iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang hendaklah beroperasi seperti biasa.

Katanya, bagi tujuh daerah berkenaan, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) hendaklah diteruskan.

“Dimaklumkan bahawa Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) bagi mengawal penularan COVID-19 yang diadakan pada 21 April mencadangkan pelanjutan tempoh penutupan sekolah di tujuh daerah.

“Mengambil kira cadangan JKKN, JPN memutuskan supaya tempoh penutupan semua sekolah dijajahan terbabit dilanjutkan sehingga 1 Mei.

“Oleh yang demikian, PdPR hendaklah diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, bagi murid yang berada di asrama, mereka perlu terus kekal di asrama masing-masing.

Media sebelum ini melaporkan, semua sekolah di tujuh daerah di Kelantan ditutup mulai 18 sehingga 24 April.

Ia membabitkan daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top