GAZA: Sebaik sahaja peperangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran bermula minggu lalu dan pintu sempadan Gaza ditutup, suasana panik mula menyelubungi wilayah padat penduduk itu, sekali gus mencetuskan semula kebimbangan mengenai krisis kebuluran.
Rakyat Palestin dilaporkan bergegas ke pasar untuk mendapatkan barangan keperluan asas, ketika kenaikan harga yang mendadak serta kekurangan barangan utama, terutamanya sayur-sayuran, kesan daripada penutupan sempadan tersebut.
Gaza bergantung hampir sepenuhnya kepada pintu sempadan untuk kemasukan bekalan makanan dan barangan keperluan. Sebarang penutupan mengejut akan memberikan kesan serta-merta terhadap pasaran tempatan dan belanjawan isi rumah.
Bagi Ibrahim Madoukh, bapa kepada lapan anak dari kejiranan al-Sahaba di Bandar Gaza, lonjakan harga mula menjejaskan punca pendapatan keluarganya yang sedia rapuh.
Sejak gencatan senjata Oktober lalu, Madoukh menjual falafel dari gerai kecil untuk menyara keluarganya. Sebelum ini, permintaan terhadap jualannya stabil kerana beliau mengekalkan harga yang rendah.
Namun, kenaikan kos bahan mentah memaksa beliau menaikkan harga jualan, manakala pelanggan yang kebanyakannya sudah bergelut dengan masalah kewangan kini membeli dalam jumlah yang lebih kecil.
“Situasi ekonomi di Gaza semakin merosot sejak perang bermula. Ramai orang tidak lagi mampu membeli apa yang ada di pasaran,” kata Madoukh.
Selepas mendengar berita mengenai penutupan sempadan, Madoukh bergegas untuk membeli bekalan sebelum ia kehabisan. Sebaliknya, beliau mendapati pasar-pasar sudah mula sesak dengan penduduk lain yang cuba melakukan perkara yang sama.
Kenaikan harga dilaporkan berlaku secara mendadak. Sekilogram bawang yang dahulunya berharga tiga shekel (RM3.93) kini dijual pada harga 15 shekel (RM19.65).
Minyak masak pula melonjak daripada 5 shekel (RM5.89) kepada 13 shekel (RM15.72), manakala harga daun sup meningkat sehingga lapan kali ganda.
“Peniaga berkata harga naik kerana pintu sempadan ditutup dan bekalan semakin kehabisan,” tambahnya lagi.- AGENSI




