Hyderabad: Seorang penyair Bahasa Urdu paling popular di India, Bashir Badr, meninggal dunia pada usia 91 tahun pada Khamis.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Bandar Bhopal dalam Wilayah Madhya Pradesh selepas menderita sakit yang berpanjangan.
Deklamasi puisi Badr dalam bentuk “ghazal” sentiasa mendapat tempat dan menyentuh hati komuniti besar penutur Bahasa Urdu di Asia Selatan.
Dilahirkan pada tahun 1935 di Ayodhya, utara India, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Muslim Aligarh (AMU) sehingga memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pensyarah di universiti berkenaan sebelum menyertai Kolej Meerut di Bandar Meerut, dan menetap di sana selama 17 tahun.
Badr berhijrah ke Bhopal selepas kediamannya diserang dalam peristiwa pertumpahan darah akibat konflik perkauman di Meerut pada tahun 1987. Perkembangan sastera Urdu yang pesat di bandar baharu itu turut membantu memperkembangkan lagi bakat beliau.
“Apabila Badr berpindah ke Bhopal, beliau dikelilingi oleh ramai penyair legenda, sekali gus mewujudkan suasana yang kondusif untuk kreativiti puitisnya.
“Beliau berbakti kepada sastera Urdu selama hampir setengah abad dan akan sentiasa dikenang atas sumbangan besarnya dalam bidang puisi ghazal,” kata wartawan yang berpangkalan di Bhopal, Shams Ur Rehman Alavi.
“Seorang penyair hebat di zaman moden, Bashir Badr terkenal kerana puisinya dan gaya unik ‘tarannum’ (berlagu),” kata Presiden Persatuan Alumni AMU di Lucknow Syed Mohammed Shoeb kepada Bernama.
Beliau berkata persidangan puisi atau “mushairas” yang disertai Allahyarham memukau peserta sehingga tiada yang ingin mendengar puisi lain melainkan yang dideklamasikan oleh Bashir Badr.
Antara tema yang sering diketengahkan dalam puisi Badr termasuklah kisah masyarakat, percintaan, politik, peperangan, sikap taksub dan satira, yang membuatkan namanya terus gah.
Dalam satu daripada puisinya, beliau menasihati orang ramai agar tidak keterlaluan dalam membenci ketika berselisih faham dengan bait yang bermaksud: “Bermusuhlah secara berpada-pada dan tinggalkan sedikit ruang, agar apabila kita kembali bersahabat kelak, kita tidak akan berasa malu (atas permusuhan lepas).”
© New Straits Times Press (M) Bhd




