Pelakon, Zara Zya meluahkan rasa syukur apabila penyakit sista (cyst) dialaminya yang telah disahkan kanser tahap satu itu dapat dikesan awal sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Ketika ditemui media, Zara atau pemilik nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 39, ini berkata penyakit itu dapat dikesal di peringkat awal hasil pemeriksaan ujian MRI yang dilakukan secara kebetulan ketika mendapatkan rawatan bagi masalah sakit pinggang dihadapinya.
“Saya memang ada arthritis yang menyebabkan seluruh badan rasa sakit. Saya tak boleh berdiri atau baring lama, dan tak boleh angkat berat kerana daya ketahanan makin lemah.
“Tahun lalu, saya ke hospital untuk periksa arthritis saja, tapi bila doktor buat MRI, rupanya mereka menemui fibroid dan cyst.
“Sebelum ini saya tak pernah buat pemeriksaan, jadi kalau bukan kerana MRI itu, saya takkan tahu cyst saya sudah berada di tahap awal kanser. Akhirnya saya perlu jalani tiga prosedur pembedahan dan sebulan lebih dirawat di hospital,” ujarnya.
Zara berkata demikian ketika ditemui di sesi fotografi drama terbaharunya, Bukan Pilihan Hati di Balai Berita, Bangsar, pada Khamis.
Menurut Zara, pembedahan itu melibatkan pembuangan cyst di ovari, serta prosedur lain di bahagian buah pinggang dan leher.
“Alhamdulillah, sudah setahun kanser itu dibuang. Sekarang saya lebih berhati-hati, jalani fisioterapi, kawal pemakanan dan amalkan gaya hidup sihat.
“Memang saya sedih dan terkejut bila dapat tahu tentang kanser itu, tapi saya tahu saya kena kuat dan positif. Syukur ia dikesan awal dan saya dapat rawatan terbaik,” katanya.
Hampir lapan bulan berehat, Zara kembali ke set penggambaran menerusi drama Dia Imamku yang bersiaran dari Februari hingga Mei lalu.
“Lepas pembedahan, memang kena rehat lama. Saya terima tawaran Dia Imamku sebab babaknya tak banyak, jadi saya boleh uruskan. Lepas itu saya rehat lagi dua bulan sebelum kembali bekerja. Sekarang saya sibuk dengan penggambaran drama Bukan Pilihan Hati untuk slot Akasia.
“Syukur ada pemandu yang membantu. Kalau tidak, memang saya menangis sebab tak mampu memandu sendiri,” tuturnya lagi.