Penyakit demam babi Afrika dikesan di 3 ladang di Kampung Selamat

Penyakit demam babi Afrika dikesan di 3 ladang di Kampung Selamat

am@hmetro.com.my

Tasek Gelugor: Kes penyakit demam babi Afrika (ASF) dikesan di tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat, di sini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, ujian makmal yang dijalankan mengesahkan haiwan di ladang berkenaan dijangkiti penyakit itu.

Beliau berkata, dua daripada tiga ladang terbabit merekodkan kadar kematian tinggi, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai potensi penularan penyakit itu ke ladang lain yang berdekatan.

“Pihak berkuasa sudah mempertingkatkan usaha membendung penularan dan melakukan pemantauan di kawasan terbabit serta mengeluarkan notis sekatan pergerakan mengikut Seksyen 18 Akta Haiwan 1953 kepada ladang yang dijangkiti wabak itu.

“Pergerakan haiwan berkenaan juga dihadkan ke rumah penyembelihan yang ditetapkan untuk mengurangkan risiko penyebaran penyakit ke daerah lain.

Dr Saira Banu turut mengingatkan semua penternak babi supaya segera melaporkan sebarang kematian luar biasa dalam ternakan mereka dan mengambil langkah untuk meningkatkan biosekuriti di ladang masing-masing.

ASF tidak boleh menjangkiti manusia, namun ia menimbulkan ancaman besar kepada industri babi, terutamanya dari segi sekatan pergerakan ternakan dan kerugian kewangan.

Kampung Selamat mempunyai 63 ladang ternakan babi dengan anggaran 120,000 babi.

Dr Saira Banu menggesa penternak untuk tidak membenarkan kemasukan orang luar dan kenderaan yang tidak disanitasi, serta sentiasa mematuhi protokol kebersihan yang ketat.

\

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top