Penyalahgunaan AI, media sosial ancam kestabilan kerajaan Sabah – Hajiji

Penyalahgunaan AI, media sosial ancam kestabilan kerajaan Sabah – Hajiji

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengakui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus pimpinannya berdepan cabaran dengan kemajuan sains dan teknologi.

Dakwanya, media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) mewujudkan ancaman baharu apabila disalahguna dan dijadikan saluran untuk menyebar fitnah dan dakwaan, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

“Taktik kotor pembangkang dan konco-konco mereka yang bersekongkol ingin menjatuhkan kerajaan GRS-PH Plus melalui sebaran fitnah, pelbagai tuduhan dan pembohongan terhadap kerajaan negeri dan kepemimpinan parti.

“Inilah cabaran semasa yang wajib kita perangi habis-habisan kerana boleh meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan dan kepemimpinan parti, lebih-lebih lagi dalam era teknologi serba canggih sekarang, di mana media sosial dan teknologi AI menguasai kehidupan seharian rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-31, di sini, hari ini yang turut dihadiri Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin dan pemimpin parti termasuk komponen GRS.

Tanpa menjelas lanjut cabaran dihadapi, Hajiji dipercayai merujuk situasi politik semasa susulan pendedahan klip rakaman video serta audio dakwaan rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan negeri.

Klip video dan audio terbabit dipercayai disunting menggunakan kecanggihan teknologi semasa termasuk AI.

Hajiji berkata, cabaran baharu itu perlu diawasi di samping beberapa lagi cabaran lain yang perlu ditangani, antaranya cabaran dalam menstabilkan politik dan memulihkan semula ekonomi negeri.

Sementara itu, Hajiji mengulangi pendiriannya untuk menawarkan GRS-PH Plus kepada rakyat negeri ini pada PRN17 nanti sejajar usaha meneruskan program pembangunan negeri dan mensejahterakan rakyat yang digerakkan sejak empat tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top