mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan rock Zabarjad, Allahyarham Ab Malek Mohd Amil @ Mohd Amir, 55, meninggal dunia di rumahnya di PPR Melana Indah, Taman Melana, Johor, jam 6.30 petang tadi.
Berita sedih ini dikongsi oleh Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia Negeri Melaka dan ahli jawatankuasa Karyawan Melaka, Datuk Zainal Abu Bakar menerusi akaun Facebook miliknya.
“Assalamualaikum semua. Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat saya, Malek penyanyi lagu Karam bersama kumpulan Zabarjad telah kembali ke negeri abadi di rumahnya.
“Sama-samalah kita menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buatnya dan berdoa semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” tulisnya.
Beberapa selebriti lain antaranya, Zarul Umbrella turut berkongsi berita pemergian Malek menerusi media sosialnya.
Terdahulu Malek pernah dilaporkan menghidap strok (angin ahmar) pada tahun ini dan terpaksa berehat daripada nyanyian.
Penderitaannya mendapat perhatian daripada Nizam Laksamana yang memberi sumbangan wang tunai menerusi Showcase Amal Artis Legenda 4.0 anjuran Nizam Laksamana Production pada 1 Jun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




