Penyelam skuba dikhuatiri hilang di Pulau Tenggol belum ditemukan

Penyelam skuba dikhuatiri hilang di Pulau Tenggol belum ditemukan

Dungun: Tiada petunjuk baharu ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat penyelam yang dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol dekat sini, Jumaat lepas.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi pencarian ditumpukan di sekitar lokasi terakhir Tam Peng Hoong, 66, dilaporkan hilang dan kawasan perairan berhampiran.

“Operasi mengesan mangsa ditangguhkan pada lewat petang berikutan keadaan semasa dan akan disambung esok,” menurut kenyataan itu.

APMM memaklumkan operasi pencarian melibatkan pelbagai agensi termasuk APMM melalui aset bot peronda Perkasa 49 dengan lima kru dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi bot peronda PSC 25 melibatkan empat anggota.

Operasi turut dibantu komuniti penyelam tempatan membabitkan Tenggol Coral Beach Resort dengan 15 penyelam dan masing-masing enam penyelam daripada Tenggol Dive Buddy Dungun dan Ocean Dream Dungun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top