SUNGAI PETANI – Penyelewengan dana walaupun dalam jumlah kecil boleh merosakkan reputasi sesebuah badan bukan kerajaan (NGO) serta menjejaskan keyakinan masyarakat untuk terus menyalurkan sumbangan.
Pengerusi Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, kepercayaan masyarakat terhadap NGO merupakan amanah besar yang perlu dipelihara dengan pengurusan berintegriti dan sistematik.
Menurutnya, setiap dana dan bantuan yang diterima perlu diurus secara telus supaya benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.

Ustaz Wadi (duduk, enam dari kanan) bersama wakil NGO dan agensi tempatan selepas Mesyuarat Jalinan NGO Kebajikan Kuala Muda 8.0 yang berlangsung di Pejabat Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda di sini.
“Dalam kerja kebajikan, kepercayaan masyarakat adalah amanah yang sangat besar. Setiap ringgit yang disumbangkan dan bantuan yang diagihkan perlu diurus dengan telus.
“NGO bukan sahaja perlu aktif membantu masyarakat, tetapi juga memastikan tadbir urus dalaman sentiasa kemas dan tidak membuka ruang kepada salah guna kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat berkenaan yang turut membincangkan isu rasuah dan penyelewengan dana dalam pengurusan bantuan kebajikan.
Perkara itu ditegaskan dalam Mesyuarat Jalinan NGO Kebajikan Kuala Muda 8.0 yang berlangsung di Pejabat Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda di sini.
Program anjuran Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda itu turut dihadiri sembilan wakil NGO dan agensi tempatan termasuk wakil Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Kuala Muda bagi memperkukuh jaringan kerjasama dalam pengurusan bantuan kebajikan secara lebih tersusun dan telus.
Jelas Mohamad Wadi, mesyuarat itu menjadi platform kepada NGO untuk berkongsi pengalaman serta langkah pencegahan bagi mengelakkan kecuaian dan ketirisan dalam pengurusan bantuan.
“Kita mahu membina budaya kerja kebajikan yang bukan sekadar pantas di lapangan, tetapi kuat dari sudut dokumentasi, semakan penerima, rekod sumbangan dan pelaporan,” katanya.



