Penyelia restoran didenda RM40,000, mengaku rasuah pegawai imigresen

Penyelia restoran didenda RM40,000, mengaku rasuah pegawai imigresen

am@hmetro.com.my

Ipoh: Seorang penyelia restoran didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merasuah pegawai Imigresen bagi mengelakkan tindakan diambil ke atas pekerja di bawah seliaannya, semalam.

Heng Siou Wei, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah ke atasnya dalam Bahasa Mandarin, dengan hakim turut menetapkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, wanita berkenaan memberi suatu suapan berupa wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak sebagai suatu balasan baginya untuk tidak mengambil tindakan perundangan terhadap beberapa pekerja di restoran yang diselia tertuduh.

Pekerja tertuduh didapati tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di Malaysia di bawah kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan melanggar syarat pas atau permit di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

Perbuatan itu kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh didakwa dengan pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan serta pertuduhan pilihan yang dibacakan itu menyatakan tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat JIM Negeri Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) dekat Bandar Meru Raya, di sini kira-kira 3 pagi, semalam.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor serta Pegawai Pendakwa SPRM, Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain hukuman yang dijatuhkan, Ainul Shahrin turut menetapkan agar wang rasuah berjumlah RM15,000 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top