Penyelidik UKM hasil varieti benih padi baharu

Penyelidik UKM hasil varieti benih padi baharu

am@hmetro.com.my

Bangi: Benih padi baharu berjaya dihasilkan sekumpulan penyelidik untuk membantu penghasilan padi lebih baik sekali gus mampu meningkatkan pendapatan petani.

Penghasilan benih padi berkenaan dilakukan kumpulan Penyelidikan Universiti Pengurusan dan Penambahbaikan Tanaman Mampan (KPU PPTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketua KPU PPTM Prof Dr N Kalaivani berkata, terdapat sembilan jenis atau varieti padi berjaya didaftarkan dengan tiga daripadanya sudah dikomersialkan kepada petani.

Menurutnya, ketika ini masih banyak varieti padi baharu sedang berada dalam kajian dan ujian di lapangan.

“Antara masalah yang dihadapi industri pertanian adalah kualiti tanah merosot disebabkan penggunaannya yang berterusan selain penggunaan bahan kimia seperti baja yang memberi kesan kepada mikrob semula jadi di dalam tanah.

“Untuk menggelakkan kesan negatif itu, kita melihat semula pada teknik penggunaan teknologi hijau supaya tanah lebih segar dan sihat serta boleh menampung pertumbuhan dengan baik.

“Selain itu, kajian dijalankan bagi menguji ketahanan padi kepada banjir yang mana ia boleh bertahan sehingga 21 hari, musim kemarau dan sekarang penyelidik kami sedang mencipta varieti padi yang juga tahan kepada kemasinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Hari Keterjaminan dan Keselamatan Makanan UKM, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Badrul Hisham Mohd

Dr Kalaivani berkata, faktor perubahan cuaca akan menyebabkan paras air meningkat terutama di kawasan pinggir sekitar Semenanjung, Sabah dan Sarawak sekali gus menyebabkan ia dimasuki air daripada laut.

“Sekiranya lambat bertindak, situasi itu akan menjadi kritikal dan susah dikawal,” katanya memaklumkan penyelidikan terhadap varieti padi itu sudah dijalankan sejak lebih 20 tahun lalu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan (Genetik dan Pembiakbakaan Tumbuhan) Dr Mohd Ikmal Asmuni berkata, KPU PPTM turut membuat kajian untuk meningkatkan mineral nutrien seperti zink, zat besi dan vitamin A dalam makanan utama seperti padi.

Menurutnya, ini bagi memastikan kandungan nutrisi dalam padi mencukupi kerana ia adalah makanan ruji masyarakat Malaysia.

“Penghasilan varieti padi ini menggunakan kaedah pembiakbakaan berbantu penanda molekul yang mana kaedah mengkacukkan varieti padi berhasil tinggi dengan varieti padi yang mempunyai ciri ketahanan kepada tekanan abiotik (seperti banjir, kemarau dan kemasinan) dan tahan kepada penyakit serta perosak.

“Jadi, kacukan itu menghasilkan varieti padi yang berhasil tinggi dan tahan kepada pelbagai jenis tekanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top