am@hmetro.com.my
Kuantan: Penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menemukan dua spesies lumut hati baharu di Genting Highlands, Pahang dan Gunung Silam di Lahad Datu, Sabah.
Lejeunea pahangensis ditemui di kawasan hutan tanah tinggi Genting Highlands pada 1997 sebelum berjaya menghurai dan diterbitkan, serta kemudiannya disahkan sebagai spesies baharu awal tahun ini, manakala Colura sabahensis ditemui di Gunung Silam di Lahad Datu.
Prof Madya Lee Gaik Ee, berkata dua negeri berkenaan terkenal dengan kawasan tanah tinggi dengan persekitaran cuaca yang sejuk.
Selain dua spesies itu, katanya beliau juga berjaya menghurai dan menerbitkan satu spesies baharu lumut hati di Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest di Cameron Highlands, hasil Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest.
Spesies ditemui melekat pada pokok di ketinggian 1,900 meter dari paras laut di kawasan Mossy Forest itu dinamakan Mastigopelma latiffiana sebagai penghargaan kepada Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad selaku antara perintis penyelidikan taksonomi tumbuhan tinggi dan biologi pemuliharaan..
“Saya yakin banyak lagi spesies baharu lumut hati di negara ini yang tumbuh liar di kawasan tanah tinggi dan tanah rendah dan usaha mencari seterusnya dihurai dan diterbitkan perlu dilakukan secara berterusan oleh penyelidik.
“Sejak lebih 13 tahun dalam bidang taksonomi tumbuhan (lumut hati) saya berjaya menghurai dan terbitkan 22 spesies baharu yang ditemui dalam dan luar negara seperti di Papua New Guinea, New Caledonia dan Pulau Fiji,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang menyertai Simposium Kebangsaan Kepelbagaian Biologi dan Persekitaran Tanah Tinggi (SKEBOT) 2025 di Bukit Fraser di Raub kelmarin berkata dalam usaha membantu penyelidik, pensyarah dan penuntut universiti memberi pemahaman secara komprehensif berkaitan biodiversiti, beliau tahun lalu menghasilkan kamus ‘Dwibahasa Kepelbagaian Biologi’ setebal 254 muka surat.
“Lebih 500 istilah disediakan berserta lebih 70 gambar serta rajah yang akan dapat memberi lebih pemahaman kepada pembaca khas untuk golongan profesional dalam bidang biodiversiti,” katanya.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd




