Penyepit logam tersangkut di kerongkong selama 8 tahun

Penyepit logam tersangkut di kerongkong selama 8 tahun

Dalian, China: Seorang lelaki di bandar ini mengejutkan pasukan perubatan apabila disahkan hidup dengan sebatang penyepit logam sepanjang 12 sentimeter (sm) yang tersangkut di dalam kerongkongnya selama lapan tahun, lapor Odditycentral.

Kejadian luar biasa itu dialami Wang, 46, yang mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Pusat Perbandaran Dalian di wilayah Liaoning, baru-baru ini selepas mengadu sakit tekak yang teruk.

Pesakit pada mulanya mengadu mengalami kesakitan yang teruk dan berasa seperti terdapat objek asing di dalam kerongkongnya sebelum doktor memutuskan melakukan pemeriksaan sinar-X.

Hasil pemeriksaan itu mendapati terdapat objek logam panjang tersangkut di kerongkongnya. Namun, pasukan perubatan lebih terkejut apabila Wang mengakui bahawa dia tertelan penyepit berkenaan sejak lapan tahun lalu.

Wang memaklumkan bahawa dia secara tidak sengaja tertelan penyepit keluli itu ketika sedang makan, namun tidak memperincikan bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Laporan hospital menyatakan lelaki itu berkemungkinan mempunyai masalah ketagihan alkohol ketika kejadian itu berlaku kira-kira lapan tahun lalu.

Walaupun mengalami rasa tercekik di leher dan sakit tekak secara berkala selepas kejadian, Wang dilaporkan tidak mengalami sebarang kesukaran untuk bernafas pada ketika itu.

Dia sebelum ini pernah mendapatkan rawatan ringkas bagi melegakan kesakitan akut, namun enggan meneruskan pembedahan untuk mengeluarkan objek itu selepas dimaklumkan mengenai risiko serius pembedahan.

Disebabkan bimbang akan risiko berkenaan, Wang memilih untuk terus hidup dengan penyepit itu dan menganggap rasa tidak selesa dialaminya selama lapan tahun masih boleh ditoleransi.

Bagaimanapun, dia akhirnya mendapatkan rawatan kecemasan selepas simptom kesakitan menjadi semakin teruk setiap pagi dan tidak berkurangan walaupun selepas mengambil ubat tahan sakit.

Kakitangan perubatan kemudian merangka pelan pembedahan invasif minimum melalui mulut sebagai kaedah lebih selamat untuk mengeluarkan objek itu tanpa perlu melakukan pembedahan pada bahagian leher.

Dr Huang yang mengetuai prosedur itu berjaya mengeluarkan penyepit keluli tahan karat berkenaan dalam keadaan utuh sekali gus melegakan kesakitan yang dialami pesakit sejak sekian lama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top