Penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka raih potensi pelaburan RM8 bilion

Penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka raih potensi pelaburan RM8 bilion

Osaka: “Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan melebihi RM8 bilion dan memeterai 20 memorandum persefahaman (MoU) melalui penyertaan dalam Ekspo 2025 Osaka,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan Malaysia bagi ekspo itu berkata, pencapaian membabitkan 101 syarikat ini menyumbang 61.54 peratus daripada keseluruhan sasaran sebanyak RM13 bilion yang ditetapkan sebelum ini.

“Saya yakin dengan inisiatif berikutnya dalam tempoh empat bulan akan datang, kita bukan sahaja akan melepasi sasaran berkenaan, malah turut membuka peluang baharu kepada rakyat Malaysia.

“Kejayaan penyertaan kita ini akan membuka laluan kepada penciptaan peluang pekerjaan serta mengukuhkan hubungan dua hala dengan Jepun dan rakan global yang lain.

“Oleh itu, bersama-sama kita memperteguh peranan Malaysia sebagai rakan global yang dipercayai dalam membentuk masa depan berasaskan inovasi dan kerjasama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Selain ekonomi digital, Fadillah turut menekankan bahawa ekonomi hijau, teknologi Jepun dan penyertaan global dalam Ekspo 2025 sebagai peluang utama yang boleh diterokai oleh Malaysia.

Beliau berkata, peluang ini meletakkan Sarawak bukan sahaja sebagai hab tenaga terutama tenaga hijau yang memanfaatkan sumber hidroelektrik malah sebagai pemain utama dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Malaysia dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Mengenai pemeteraian 20 MoU, Fadillah berkata, Pavilion Malaysia sudah mempermudah beberapa MoU berimpak tinggi dan perkongsian strategik yang mencerminkan pendekatan proaktif negara dalam kerjasama serantau, pembangunan mampan dan kemajuan teknologi.

“Perjanjian ini merangkumi pelbagai sektor seperti tenaga boleh baharu (TBB), digital, perkhidmatan hartanah, bioteknologi, inovasi penjagaan dan pembangunan infrastruktur.

“Fokus utama termasuk usaha menyokong penyahkarbonan, memajukan penyelesaian hidrogen hijau, memperkukuh keupayaan penjagaan dementia serta mempromosikan sistem kemudahan pintar dan bahan mampan,” kata beliau.

Fadillah berkata, secara keseluruhan, perkongsian berkenaan menekankan peranan Pavilion Malaysia sebagai hab menjana hasil ekonomi nyata, menggalakkan perkongsian ilmu rentas sempadan dan memperteguh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi bersih, inovasi inklusif dan industri masa depan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya Fadillah berkata, Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 menerima kehadiran lebih sejuta pengunjung setakat minggu ini dan merupakan pencapaian yang membanggakan.

Fadillah berkata, hubungan Malaysia dan Jepun yang terjalin sejak sekian lama dan hubungan erat di luar daripada hubungan ekonomi mencerminkan komitmen bersama terhadap kestabilan serantau dan persefahaman budaya.

Menurut beliau, semangat keakraban antara kedua-dua negara telah dipupuk dan diperkukuh selama beberapa dekad, berkembang menjadi perkongsian yang menyeluruh dan teguh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top