suzalina@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini mencatatkan sejarah penting apabila bakal menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Damai Thailand–Kemboja dan Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadual akan menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Damai Thailand–Kemboja yang menjadi acara kemuncak hari ini.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia
melambangkan kejayaan diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian secara aman dan konstruktif.
“Ia turut memperkukuhkan kepercayaan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim, hari ini.
Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Kejayaan itu diumumkan Perdana Menteri, selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Sementara itu, Tunku Nashrul berkata, sesi pembukaan pagi ini juga akan menyaksikan detik bersejarah di mana pemimpin ASEAN akan menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN, yang secara rasminya mengiktiraf negara ini sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11.
Beliau berkata, peristiwa itu adalah kejayaan besar di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, sekaligus melengkapkan Komuniti ASEAN sebagai sebuah keluarga serantau yang bersatu.
“Penyertaan Timor-Leste juga akan membawa dinamika baharu kepada tiga tonggak Komuniti ASEAN — Politik-Keselamatan, Ekonomi dan Sosiobudaya, serta menyumbang kepada citra jangka panjang mewujudkan Asia Tenggara yang benar-benar inklusif,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran pemimpin global serta kejayaan diplomasi damai serantau menandakan kekuatan ASEAN sebagai blok yang matang, bersatu dan dihormati dunia.
Katanya, Malaysia, di bawah pimpinan Perdana Menteri, akan terus istiqamah membawa kepimpinan serantau yang berprinsip dan berpaksikan rakyat, supaya sentiasa menjadi tunjang kestabilan dan peneraju utama dalam membentuk masa depan Asia Tenggara yang aman, makmur dan berdaya tahan.
“Sidang kemuncak hari ini bakal menghimpunkan pemimpin ASEAN dan tetamu Pengerusi, menjadikan Kuala Lumpur pusat pertemuan diplomasi global, di mana hala tuju politik, ekonomi dan kemanusiaan rantau ini akan ditelusuri bersama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




