Penyiasat menemukan kotak hitam pesawat Antonov-24 Angara Airlines

Penyiasat menemukan kotak hitam pesawat Antonov-24 Angara Airlines

Moscow: Penyiasat menemukan perakam data penerbangan daripada serpihan pesawat terhempas di timur jauh Rusia, yang mengorbankan 48 orang, dan akan menghantarnya untuk dianalisis, kata pihak berkuasa Rusia pada Jumaat.

Pesawat itu, Antonov-24 yang dikendalikan oleh Angara Airlines, sedang membuat percubaan kedua untuk mendarat di bandar Tynda di Siberia apabila ia hilang daripada radar kira-kira 1 tengah hari Khamis.

Helikopter penyelamat kemudiannya ternampak fiuslaj pesawat yang terbakar di lereng gunung di kawasan hutan, kira-kira 15 kilometer di selatan lapangan terbang Tynda.

Pendakwa raya belum mengulas mengenai apa yang mungkin menyebabkan nahas itu, tetapi seorang penyelamat yang dipetik oleh agensi berita TASS berkata, pesawat hampir 50 tahun itu cuba mendarat ketika awan tebal.

Penyiasat sedang meneliti sama ada nahas itu disebabkan oleh kerosakan teknikal atau kesilapan manusia, lapor agensi itu.

“Perakam penerbangan ditemukan di lokasi nahas dan akan dihantar ke Moscow untuk penyahsulitan dalam masa terdekat,” kata kementerian pengangkutan Rusia dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa Rusia juga melancarkan siasatan terhadap pengendali pesawat itu, Angara Airlines, dan sama ada ia mematuhi peraturan, tambahnya.

“Berdasarkan penemuan, keputusan akan dibuat mengenai operasi masa depan syarikat,” kata kementerian itu.

Angara Airlines, sebuah syarikat penerbangan serantau kecil yang berpangkalan di bandar Siberia iaitu Irkutsk, berkata, ia sedang melakukan “segala yang mungkin untuk menyiasat keadaan kemalangan itu.”

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Sergei Salamanov, memberitahu saluran TV REN Rusia pada Khamis bahawa kapten pesawat itu – seorang juruterbang berpengalaman dengan 11,000 jam masa penerbangan – yang memutuskan untuk membuat penerbangan.

Pesawat itu jatuh di kawasan yang sukar dicapai dan pasukan penyelamat darat mengambil masa beberapa jam untuk sampai ke lokasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top