Penyimpanan data tidak pernah diswastakan – Utusan Digital

PETALING JAYA: Penyimpanan data di negara ini sebenarnya tidak pernah diswastakan kepada pihak lain cuma terdapat sesetengah agensi kerajaan melantik syarikat swasta untuk mengendalikannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Perunding Teknologi Maklumat, Ridzman Azzahari berkata, Malaysia adalah salah satu negara selamat untuk menyimpan data, tetapi, ia melibatkan masalah integriti individu yang dipertanggungjawabkan dalam menguruskan hal ehwal data tersebut.

“Selain daripada faktor tersebut, kita haruslah sentiasa mengemaskini setiap sistem dan aplikasi berada pada tahap security yang terkini dan optimum,” tegasnya.

Beliau berkata, sistem keselamatan data kerajaan tidaklah berada di tahap rendah, tetapi tahap keselamatan sistem keselamatan negara perlu sentiasa dipertingkatkan sesuai dengan arus teknologi semasa.

“Pengendalian dari segi pengurusan aplikasi yang melibatkan data yang disimpan di agensi kerajaan yang mana secara tidak langsung menjadikan ia suatu risiko kebocoran data yang perlu ditanggung oleh pihak kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ridzman berkata, fokus terhadap penyelenggaraan sistem masih tidak diberikan fokus.

“Sistem penyelenggaran ini yang memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan sistem dan data dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kebanyakan sistem dibeli dan dibakan dengan harga yang tinggi tetapi elemen penyelenggaraan kurang dititikberatkan menyebabkan sistem yang dibeli tidak disesuaikan dengan sistem keselamatan terkini.,” tegasnya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan tiada kebocoran dan ketirisan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), melalui sistem data perkongsian berpusat ‘MyIdentity’.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata berdasarkan siasatan awal oleh JPN, tiada kebocoran dikesan selain tiada kes yang sama pernah berlaku dalam jabatan berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kebocoran empat juta data peribadi rakyat Malaysia yang lahir sejak 1979 sehingga 1998 yang didakwa dari sistem MyIdentity.

“Pada masa ini, 104 agensi kerajaan dibenarkan menggunakan sistem MyIdentity namun yang benar-benar menggunakannya tidak mencecah 100 agensi pun.

Turut senada, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Komputer UniKL, Fuead Ali menegaskan,tidak semestinya penswastaan penyimpanan data ini akan mengundang bahaya kepada kebocoran data.

“Ini kerana jika urusan ini dilakukan dengan tahap profesionalisme yang tinggi dan dilindungi oleh perjanjian kontrak yang diteliti dengan sangat cermat.

“Walaubagaimanapun, kaedah yang terbaik dalam strategi penyimpanan data tetap dengan membangunkan kepakaran dalaman dan tempatan dimana setiap struktur dalam sistem penyimpanan data ini dapat diperhalusi dan ditambah-baik dari semasa ke semasa.

“Ia nya juga dapat menjamin tahap privasi dan kerahsian yg tertinggi bagi keselamatan data kerajaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE