Penyokong bersatu bantu Nelson, kenang jasa ‘Double Treble’ Kedah

Penyokong bersatu bantu Nelson, kenang jasa ‘Double Treble’ Kedah
Penyokong bersatu bantu Nelson, kenang jasa ‘Double Treble’ Kedah

Tangkap layar beberapa peminat Hijau Kuning yang tampil membantu serta memberi kata-kata semangat kepada Nelson.

NASIB yang menimpa legenda bola sepak Kedah, Nelson Sam Martin yang memohon bantuan kerana mendakwa sedang terhimpit akibat tunggakan gaji daripada Kedah Darul Aman FC (FC) mendapat perhatian ramai khususnya penyokong Hijau Kuning.

Perkongsian pada Isnin tersebut di laman sosial Facebooknya kini mendapat hampir 6,000 reaksi, lebih 1,000 komen dan hampir 1,500 perkongsian.

Penyokong bola sepak tempatan terdiri daripada pelbagai kaum turut berkongsi tangkap layar resit di ruangan komen tersebut sebagai usaha membantu bekas pemain berasal dari Chile itu.

Seorang penyokong, Megat Syafiq memberi kata-kata positif kepada Nelson dan menghargai setiap sumbangannya kepada Hijau Kuning selama ini.

“Terima kasih atas khidmat kepada legenda bersama Hijau Kuning,” katanya yang turut berkongsi tangkap layar resit di ruangan komen.

Bagi Suresh Krishnan pula, sumbangan yang diberikan itu sebagai mengenang jasa Nelson yang pernah mewarnai dan memeriahkan saingan Liga Malaysia sebelum ini.

Menurutnya, jaringan gol kedua Nelson semasa membantu Kedah menewaskan Selangor 3-2 dalam final Piala Malaysia 2008 di Stadium Bukit Jalil melengkapkan sejarah juara ‘Double Treble’ menjuarai Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia dua musim berturut-turut masih diingatinya sehingga hari ini.

Seorang lagi penyokong, Kim Boon Tak mendoakan agar urusan legenda bola sepak tersebut dipermudahkan namun pada waktu sama mempersoalkan apa yang telah terjadi terhadap pengurusan KDA FC.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Nelson tampil dengan luahan hati menyayat perasaan apabila mendakwa berdepan kesukaran hidup akibat tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan oleh KDA FC.

Katanya, kali terakhir beliau menerima sebahagian kecil bayaran adalah pada 10 Januari lalu sebelum kelab didakwa tidak lagi memberi sebarang maklum balas terhadap usaha beliau mendapatkan penjelasan.

Menurutnya, dalam keadaan terdesak, beliau terpaksa berkongsi kod QR Touch ’n Go bagi memohon bantuan orang ramai terutamanya penyokong Kedah untuk meringankan beban keluarga.

Ringkasan AI

  • Legenda bola sepak Kedah, Nelson Sam Martin memohon bantuan akibat tunggakan gaji oleh Kedah Darul Aman FC. Perkongsian Nelson di Facebook menarik ribuan reaksi dan sokongan daripada penyokong. Nelson dikenang kerana gol penting dalam Piala Malaysia 2008 dan ‘Double Treble’. Penyokong mempersoalkan pengurusan KDA FC yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji. Nelson terpaksa memohon bantuan orang ramai melalui kod QR Touch ‘n Go.
Scroll to Top