Shanghai: Penyokong dan pengulas bola sepak China meluahkan rasa hampa selepas impian negara itu untuk ke Piala Dunia musnah susulan kekalahan di tangan Indonesia pada kempen kelayakan, semalam.
Presiden Xi Jinping pernah menyatakan hasratnya untuk melihat China memenangi Piala Dunia suatu hari nanti, namun kegagalan terbaru ini bermakna mereka hanya pernah layak sekali ke kejohanan itu, iaitu pada tahun 2002, di mana mereka gagal mengutip sebarang mata atau menjaringkan gol.
Kekalahan 0-1 di Jakarta semalam menyaksikan mereka kekal di tangga tercorot Kumpulan C kelayakan Asia dengan tujuh kekalahan daripada sembilan perlawanan. Mereka sudah bolos 20 gol.
Pengulas bola sepak, Zhan Jun berkata, pasukan bimbingan Branko Ivankovic itu tewas disebabkan kurang pengalaman, kekurangan kemampuan dan kegagalan menguruskan perkara-perkara kecil dengan baik.
Taktik jurulatih dari Croatia itu dikatakan ‘tidak sesuai dengan pasukan’ dan memberi tekanan berlebihan kepada pemain tengah bertahan, Wang Shangyuan, tulis Zhan di laman sosial Weibo.
Pengulas veteran, Ji Yuyang pula mengkritik kepimpinan Ivankovic yang dikatakan mengecewakan dan menyatakan bahawa jurulatih itu ‘tidak sebaik beberapa jurulatih sebelum ini’.
“Dalam kumpulan mereka, pasukan China tewas paling banyak dan bolos paling banyak,” kata Ji di Weibo.
Peminat setia pasukan kebangsaan sudah lama kecewa meluahkan kemarahan mereka di media sosial.
Seorang pengguna menulis: “Pemain kebangsaan nampaknya langsung tidak faham bahawa tujuan bola sepak ialah untuk menyepak bola ke dalam gol lawan.”
“Mereka hanya tahu kejar bola tanpa arah!”
Pasukan kebangsaan China sudah lama menjadi bahan jenaka dan sasaran kecaman di negara itu, baik kerana prestasi buruk mahupun isu rasuah dalam sukan berkenaan.
“Kali terakhir pasukan kebangsaan layak ke Piala Dunia, saya masih di tahun enam sekolah rendah,” tulis seorang lagi penyokong di media sosial.
“Mungkin kami hanya akan layak semula apabila cucu saya pula berada di tahun enam,” tambahnya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




