Penyokong desak pecat Amorim

Penyokong desak pecat Amorim

London: Penyokong Manchester United mendesak Ruben Amorim dipecat selepas pengurus itu meletakkan Kobbie Mainoo sebagai ‘pilihan keempat’ di bahagian tengah.

The Red Devils masih menunggu kemenangan pertama musim ini selepas sekadar seri 1-1 menentang Fulham.

United sebelum ini menang lapan perlawanan terakhir mereka di Craven Cottage, namun gagal meneruskan rentak kemenangan itu.

Skuad bimbingan Amorim, yang tewas pada aksi pembukaan kepada Arsenal, mendahului menerusi gol sendiri Rodrigo Muniz pada separuh masa kedua.

Namun, kelebihan itu hilang apabila Emile Smith Rowe yang masuk sebagai pemain gantian berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Melihat pasukannya bergelut di bahagian tengah, Amorim mengubah gandingan utama Bruno Fernandes dan Casemiro dengan menggantikan Casemiro bersama Manuel Ugarte.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa England, Mainoo, terus dipinggirkan di bangku simpanan tanpa diberi sebarang minit beraksi.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan penyokong United yang menuduh Amorim meminggirkan Mainoo.

Ada juga penyokong yang menggesa Amorim dipecat selepas membelanjakan £200 juta (RM1.13 bilion) untuk pemain serangan baharu tetapi gagal menyaksikan seorang pun pemain United menjaringkan gol dalam dua perlawanan pertama musim ini.

Seorang penyokong menulis: “Kobbie Mainoo dilayan seolah-olah dia pemain tengah pilihan keempat United, ia sangat mengejutkan.”

Seorang lagi menyatakan: “Pecat saja Amorim, dia sudah diberi setahun untuk membuktikan diri tetapi tidak menunjukkan apa-apa. Tiada kemajuan, tiada peningkatan, tiada perancangan jelas. Langsung tiada alasan untuk mengekalkannya.”

Seorang penyokong lain berkata: “Amorim nampaknya bertekad mencuba semua pemain tengah kecuali Mainoo. Ia sangat pelik.”

Seorang lagi menambah: “Bruno sekali lagi bermain 90 minit tanpa digantikan. Ini sebab utama Amorim patut dipecat.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top