Penyokong Indonesia conteng, kibar Jalur Gemilang terbalik: FAM sudah hantar bantahan rasmi

Penyokong Indonesia conteng, kibar Jalur Gemilang terbalik: FAM sudah hantar bantahan rasmi

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar bantahan rasmi susulan tindakan penyokong pasukan Indonesia yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika aksi Piala ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) di Jakarta, Selasa lepas.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, bantahan itu telah dihantar dua hari lepas kepada Setiausaha Agung AFF Winston Lee Boon Aun, serta pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kita sudah hantar bantahan kepada AFF dan salinan kepada kepada AFC. Perkara ini menimbulkan rasa kurang senang buat penyokong dan rakyat Malaysia,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FAM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sini hari ini.

Terdahulu beberapa keping gambar tular di media sosial memaparkan Jalur Gemilang dipegang secara terbalik dan diconteng oleh segelintir penyokong tuan rumah, ketika perlawanan kumpulan Piala ASEAN B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Beliau berkata, FAM masih menunggu maklum balas rasmi daripada pihak AFF dan AFC mengenai bentuk tindakan akan diambil terhadap individu terbabit atau penganjur kejohanan.

Sementara itu, beliau mengesahkan Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi gelanggang bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Harimau Malaya menentang Singapura dan Palestin pada September depan.

“Setakat ini memang dua perlawanan ini sahaja yang kita sahkan. Lokasi pun sudah diputuskan di Bukit Jalil, dan skuad akan berlatih di Stadium Kuala Lumpur,” katanya.

Dua aksi ini dijangka menjadi medan penting buat pasukan kebangsaan menguji kombinasi pasukan sebelum saingan kelayakan Piala Asia 2027 bersambung pada Oktober. – Bernama 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top