sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Kelab penyokong bola sepak Kedah tampil menuntut penjelasan daripada pemilik dan pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA) selepas isu tunggakan gaji pemain sejak tahun lalu masih belum selesai sepenuhnya.
Wakil kelab penyokong bola sepak Kedah, Mohammad Adhan Mat Aji berkata, penyokong merasa hairan kerana hingga kini masih tiada penyelesaian penuh mengenai isu gaji tertunggak ini seperti dijanjikan sejak hujung tahun lalu dan pihak pengurusan seolah-olah berada dalam ‘mod senyap’ yang makin membimbangkan penyokong.
“Penyokong KDA FC ingin mengetahui status tunggakan gaji dan status KDA FC di dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025 memandangkan sehingga kini tiada sebarang penjelasan dibuat Tan Sri Mohd Daud Bakar mahupun pihak pengurusan.
“Selain isu gaji, penyokong turut dikejutkan dengan peletakan jawatan CEO KDA FC, Khamal Idris Ali.
“Kami (penyokong) ingin memohon penjelasan tentang isu sangat mengejutkan ini untuk mengetahui apa sedang berlaku dan siapa yang akan menggantikan jawatan CEO itu,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambah Mohammad Adhan, penyokong menyuarakan hasrat untuk berjumpa pemilik dan pengurusan, tetapi tiada maklum balas dan berharap pada kali ini suara mereka didengar dan perjumpaan akan diadakan bagi menjawab segala persoalan yang timbul itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




