KUMPULAN penyokong tegar Liverpool, Spirit of Shankly (SoS) menggesa peminat kelab itu untuk bersatu menyatakan bantahan terhadap keputusan pengurusan menaikkan harga tiket bagi tempoh tiga musim akan datang.
Keputusan The Reds yang diumumkan dua minggu lalu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan dalam kalangan penyokong terutamanya selepas kelab itu dilaporkan mencatatkan rekod pendapatan tertinggi pada awal tahun ini.
Pihak kelab bercadang untuk menaikkan harga tiket selaras dengan kadar inflasi tahunan Indeks Harga Pengguna (CPI) sehingga had maksimum lima peratus.
Meskipun kelab melakukan beberapa pengecualian seperti membekukan harga tiket untuk warga emas, penduduk tempatan dan remaja namun SoS tetap bertegas bahawa tindakan menaikkan harga ketika kelab untung besar adalah tidak wajar.
“Mesyuarat secara dalam talian, tinjauan dan perbualan yang tidak terkira banyaknya semuanya menjurus kepada perkara yang sama: peminat tidak menerima keputusan ini.
“Jika pemilik kelab enggan mendengar, kami akan paksa mereka dengar. Ini bukan lagi soal perundingan. Peluang itu sudah berlalu. Sekarang adalah masanya untuk bertindak,” kata SoS dalam satu kenyataan.
Susulan itu, SoS mengesahkan bahawa pihak kelab telah dimaklumkan mengenai demonstrasi yang akan dilakukan. Walaupun perincian penuh belum didedahkan, protes awal dijangka bermula pada aksi liga menentang Fulham di Anfield, hujung minggu ini.
Selain demonstrasi, organisasi itu turut melancarkan kempen ‘not a pound in the ground’ yang menggesa penyokong supaya tidak membeli makanan, minuman atau cenderamata di dalam Anfield.
“Belanjakan wang anda di perniagaan tempatan yang bebas di sekitar Anfield. Ini adalah tindakan kecil, tetapi jika cukup ramai orang melakukannya, ia akan menghantar mesej yang jelas,” tambah kenyataan itu.
Pihak kelab sebelum ini mempertahankan keputusan mereka dengan alasan kenaikan kos operasi dan utiliti hari perlawanan yang semakin meningkat selain menegaskan bahawa harga tiket Liverpool masih antara yang termurah berbanding pesaing utama dalam Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, SoS menyifatkan kenaikan itu sebagai petanda hala tuju kelab yang semakin menjauh daripada akarnya.
“Ini bukan sekadar soal harga. Ia soal hala tuju kelab. Adakah Liverpool mahu kekal berakar umbi kepada rakyatnya, atau melihat mereka sekadar sumber pendapatan yang boleh diperah setiap tahun?” soal mereka.
Jika kenaikan ini diteruskan, peminat bimbang harga tiket akan mencecah £70 (RM374) dan tiket bermusim melebihi £1,000 (RM5,350) dalam tempoh beberapa tahun akan datang.



