sukan@hmetro.com.my
Ipoh: Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunda perlawanan Liga Super antara Perak FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Perak, di sini, malam tadi disambut sorakan kecewa seramai 10,833 penyokong yang hadir.
Lebih menghampakan, ini adalah kali kedua pertemuan skuad Seladang dan Harimau Selatan ditunda ekoran cuaca hujan, selepas perlawanan asal pada 17 Ogos lalu.
Rata-rata penyokong yang hadir seawal 6 petang dilihat sabar menunggu sepak mula yang sepatutnya berlangsung 8.15 malam.
Biarpun komisioner perlawanan menangguhkan sepak mula sebanyak dua kali kepada 8.45 malam dan kemudiannya 9.15 malam, penyokong masih sabar menunggu dan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.
Buat beberapa kali, suasana stadium digamatkan kedua-kedua belah penyokong melaungkan sorakan ‘MAIN!’ secara berulang, bertujuan mendesak perlawanan dimulakan segera dan tidak ditangguhkan lagi.
Seorang penyokong JDT, Muhammad Hafiz Ahmad Sohan, 39, berkata beliau berasa kecewa dengan keputusan MFL menunda perlawanan yang ditunggu-tunggu itu.
Dia yang berasal dari Batu Pahat, Johor membawa isteri dan dua anak terpaksa pulang dengan hati yang hampa.
“Niat saya hendak bawa anak-anak merasa pengalaman game away, namun perkara ini terjadi.
“Kita pun tidak tahu apa sebenarnya terjadi, saya lihat tadi hujan sudah berhenti seketika, namun permainan tidak juga bermula.
“Perlawanan asal pada 17 Ogos lalu pun saya ada datang, kali ini pun kita terpaksa balik kecewa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




