Los Angeles: Peminat tinju mencadangkan kepada Jake Paul masih belum terlambat untuk menarik diri daripada pertarungannya dengan Mike Tyson.
Tyson, pada usia 58 tahun, keluar daripada persaraan untuk berdepan dengan sensasi media sosial, Paul pada 15 November depan.
Kemunculan terakhir Tyson adalah dalam pertarungan pertunjukan yang berakhir dengan keputusan seri ketika bertemu legenda tinju, Roy Jones Jr pada tahun 2020.
Manakala pertarungan profesional terakhirnya berakhir dengan persaraan selepas lima pusingan menentang Kevin McBride pada tahun 2005.
Pertarungan kali ini menerima kritikan lantang daripada peminat dan pengkritik terutamanya selepas Tyson meminta menangguhkan pertemuan asal pada 20 Julai lalu kerana mengalami sakit ulser.
Namun, bekas juara dunia itu menyatakan bahawa dia berada dalam keadaan sihat dan telah berkongsi banyak video sesi latihannya.
Peminat menyatakan sokongan kepada Tyson dan menasihati Paul bahawa dia masih boleh menyelamatkan maruahnya dan menarik diri.
“Jake… masih ada masa untuk batalkan pertarungan ini,” komen salah seorang peminat.
Manakala seorang lagi berkata: “Mike berada di pentas antara paling besar, pada usia 58 tahun, dan kelajuan serta kekuatannya menyerupai seorang yang berusia 28 tahun. Dia menentang segala kemungkinan seperti mana LeBron James.”
Peninju heavyweight Britain, Joe Joyce, juga kelihatan menyokong Tyson dengan menyatakan: “Ayuh Mike!!!”
Sementara itu, Paul sendiri memberi reaksi terhadap video yang menunjukkan Tyson mengangkat bebanan dengan berkata: “Usaha yang bagus Mike. Awak nampak hebat. Macam Hulk. Tapi saya masih akan kalahkan awak.”
© New Straits Times Press (M) Bhd