Penyokong Rafizi tidak akan keluar parti, ambil masa untuk bertenang – Aminuddin

Penyokong Rafizi tidak akan keluar parti, ambil masa untuk bertenang – Aminuddin

Datuk Seri Aminuddin Harun memberitahu penyokong Datuk Seri Rafizi Ramli tidak akan keluar parti selepas mengalami kekalahan pada pemilihan Naib Timbalan Presiden PKR, baru-baru ini.

Menurut laporan Harian Metro, beliau menegaskan penyokong Rafizi tidak akan bertindak terburu-buru dalam membuat keputusan sebaliknya perlu melangkah ke hadapan meneruskan perjuangan.

Tidak akan keluar parti

Tidak akan keluar parti

“Mereka (penyokong Rafizi) tidak akan keluar parti tetapi melihat strategi yang boleh dimainkan di peringkat ranting dan cabang sebagai langkah ke hadapan.
“Saya sebahagian daripada orang kuat Datuk Seri Rafizi dan saya yakin mereka akan mengambil masa sedikit untuk tenang dan memberikan sokongan semula kepada Keadilan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2025, di N9 Arena, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Aminuddin yang juga merupakan Naib Presiden PKR berkata pihaknya akan mengambil maklum segala pandangan yang dilontarkan pemimpin dan ahli akar umbi ketika tempoh berkempen dan pemilihan parti.

Artikel lain: Rafizi Ramli tersentuh lihat ahli muda menangis – “Mereka merayu saya jangan tinggalkan PKR”

Tidak akan keluar parti

Jelasnya, strategi perlu dirangka dengan baik bagi memastikan sesuatu isu yang berbangkit dalam kalangan rakyat termasuklah di media sosial dapat diselesaikan

“Walaupun pemilihan parti itu sudah berakhir tetapi melihat di pelbagai media sosial, pelbagai perkara masih diperdebatkan.
“Saya melihat kepemimpinan PKR perlu merangka strategi dan memberi penerangan yang baik. Kita tidak boleh ambil mudah komen daripada rakyat.
“Kita perlu perbaiki apa jua pandangan dan bekerja lebih kuat daripada apa yang ada sekarang dalam menuju ke arah menghadapi pilihan raya,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah Anwar melakar kemenangan besar pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menewaskan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk diangkat sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2025-2028 yang menyaksikan perubahan ketara dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Beliau memperoleh 9,803 undi berbanding 3,866 yang diraih Rafizi sekali gus menjadikan beliau wanita pertama memegang jawatan nombor dua parti itu yang sebelum ini didominasi oleh pemimpin lelaki.

Sumber: Harian Metro (Mohd Amin Jalil)

Scroll to Top