firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain ke-12 Selangor FC (SFC) menyambut baik langkah pengurusan kelab mengheret Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid menegaskan langkah berani itu sememangnya wajar dilakukan SFC bagi menuntut keadilan buat kelab.
“Apa yang dilakukan Selangor FC itu memang terbaik dan mereka berani untuk menegakkan keadilan. Kalau ikutkan kami sebagai penyokong memang tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan.
“Saya fikir Selangor FC ada bukti yang kukuh mengenai insiden terbabit, sebab itu mereka berani bawa kes itu ke AIAC. Saya berharap Selangor FC mendapatkan keadilan yang sepatutnya,” katanya.
Semalam, SFC tidak berdiam diri apabila ‘berani mencabar’ FAM untuk diheret ke AIAC.
Ia selepas rayuan SFC ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FAM yang tetap dengan keputusan mengekalkan denda RM100,000 beserta dua hukuman beraksi tanpa penonton ekoran insiden kekecohan penyokong dalam aksi suku akhir Piala FA sebelum ini.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan SFC, tindakan mengheret FAM ke AIAC adalah selaras dengan peruntukan sedia ada pada Artikel 77 dan Artikel 129 Kod Tatatertib FAM (Kod FAM).
SFC dikenakan hukuman itu selepas didapati bersalah berhubung kes membabitkan kelakuan penyokong dan kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 29 Oktober lalu.
Hukuman beraksi dua perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA itu dikenakan bermula aksi separuh akhir kedua menentang Sabah di Stadium MBPJ, malam esok dan perlawanan pertama SFC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA pada musim berikutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




