MANCHESTER: Penyokong Manchester United masuk ke padang Old Trafford menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool bagi menunjukkan bantahan terhadap pemilik kelab.
Sekumpulan besar penyokong berkumpul di luar stadium, pada hari Manchester City mampu dinobatkan juara sekiranya United tewas.
Ratusan penyokong berjaya masuk ke padang dan melaungkan “kami mahu Glazers keluar”.
Kemarahan terhadap keluarga Glazer yang memiliki saham terbesar kelab tercetus semula selepas United terbabit dalam rancangan Liga Super Eropah yang hanya bertahan 48 jam.
Penyokong-penyokong United memakai baju berwarna hijau dan emas – warna kelab Newton Heath yang ditubuhkan pada tahun 1878 dan menjadi Manchester United 24 tahun kemudian – sebagai tanda bantahan.
Naib pengerusi eksekutif United, Ed Woodward sudah mengumumkan perletakan jawatannya berkuatkuasa akhir tahun ini selepas kegagalan projek Liga Super Eropah. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd