
Kain rentang yang didakwa dinaikkan oleh segelintir penyokong Vietnam.
SKUAD Harimau Malaya menjadi sasaran sindiran tajam penyokong Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Thien Truong pada Selasa.
Dalam perlawanan yang menyaksikan Malaysia tunduk 1-3 kepada Vietnam itu, segelintir penyokong Naga Emas dilihat melakukan provokasi dengan menaikkan sebuah kain rentang besar yang mengejek status skuad kebangsaan.
Gambar penyokong Vietnam menaikkan kain rentang tersebut memaparkan ilustrasi pemain Harimau Malaya sedang menangis dengan kapsyen ‘kami adalah pelancong, bukan harimau’ telah tular di media sosial.
Sindiran itu dipercayai merujuk kepada skandal pemalsuan dokumen yang melanda kem negara sehingga menyaksikan impian Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027 secara merit berkecai.
Terdahulu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bertindak membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya ketika bertemu Nepal dan Vietnam sebelum ini. Hukuman berat itu dikenakan susulan isu penggunaan dokumen palsu membabitkan tujuh pemain.
Tujuh pemain berkenaan ialah Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero.
Kesemua mereka telah diturunkan ketika Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun lalu.
Kesilapan memalukan itu bukan sahaja merentap harapan penyokong tempatan, malah membolehkan Vietnam mengambil alih kedudukan pertama Kumpulan F secara automatik untuk mengesahkan slot ke Piala Asia 2027.
Ringkasan AI
- Skuad Harimau Malaya disindir oleh penyokong Vietnam selepas tewas 1-3.
- Penyokong Vietnam menaikkan kain rentang mengejek Harimau Malaya di media sosial.
- Sindiran merujuk skandal pemalsuan dokumen yang menghalang Malaysia ke Piala Asia 2027.
- AFC membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya akibat isu dokumen palsu melibatkan tujuh pemain.
- Vietnam memimpin Kumpulan F untuk layak ke Piala Asia 2027 selepas Malaysia kehilangan kemenangan.



