Penyu tak terjejas tanpa dua tonggak

Penyu tak terjejas tanpa dua tonggak

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sekalipun Terengganu FC (TFC) tampak dirundung malang apabila kehilangan dua tonggak iaitu Petrus Shitembi dan Azalinullah Alias untuk jangka masa panjang, situasi itu dilihat tidak begitu memberi kesan kepada rentak mereka.

Pengendalinya, Nafuzi Zain mengakui ketiadaan dua pemain itu menjejaskan perancangan pada musim ini namun berpuas hati apabila penggantinya berjaya mencetus impak untuk membantu pasukan sehingga menghuni tangga kedua Liga Super ketika ini.

Dengan rehat antarabangsa, tempoh itu bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh Nafuzi untuk memperkemas lagi permainan anak buahnya sebelum bertemu PJ City di laman sendiri pada Jumaat.

“Kita akan analisis kekurangan yang kita ada sebelum melakukan persiapan menentang PJ City FC. Kita kehilangan beberapa pemain tetapi kita hanya merancang dan kita mungkin tidak dapat apa yang kita rancangkan.

“Tetapi kita tidak begitu merasai ketiadaan mereka kerana pemain lain pun turut memberikan usaha dan komitmen yang tinggi. Kedudukan kita pun agak baik tetapi kita perlu tetap berusaha lebih lagi,” katanya.

Sebagai rekod, Petrus dan Azalinullah mengalami kecederaan yang menjadi igauan buruk pemain bola sepak iaitu ‘anterior cruciate ligament’ (ACL).

Selepas lima perlawanan, TFC terikat dengan 10 mata bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC namun berkelebihan dari segi jaringan selain hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mereka meraih tiga kemenangan dan satu keputusan seri namun dikejutkan pasukan bergelut, Sabah FC 2-1 pada aksi terakhir sebelum liga berehat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top