am@hmetro.com.my
Parit: Cuaca panas berterusan menyebabkan paras air sungai menyusut hingga menampakkan beting pasir di beberapa kawasan khususnya di daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar.
Tinjauan di Jeti Lembah Kuala Kangsar mendapati beting pasir serta batuan kerikil dasar sungai tersingkap sejak Disember lalu, selain hantaran media sosial memaklumkan situasi serupa berlaku di beberapa lokasi lain sepanjang sungai.
Keadaan air sungai cetek serta menyingkap beting pasir menyebabkan hasil tangkapan nelayan menyusut akibat bot tidak dapat digerakkan ke lokasi menangkap ikan selain menjejaskan sektor pelancongan bot persiaran di Kuala Kangsar.
Nelayan yang juga peraih hasil tangkapan sungai, Muhamad Shahrul Buari, 38, berkata, fenomena penyusutan air kali ini adalah yang terburuk pernah dilaluinya sepanjang menetap di Kampung Teluk Perang, Perak Tengah, di sini hingga menjejaskan pergerakan bot di sungai.
Dia yang juga Pengerusi Komuniti Nelayan (MyKP) Kampung Teluk Perang berkata, keadaan itu memaksa nelayan mengubah rutin turun ke sungai pada waktu malam berbanding siang disebabkan ikan tidak timbul susulan permukaan air panas sewaktu cuaca panas.
“Sebelum ini nelayan boleh meraih pendapatan antara RM200 hingga RM300 sehari apabila air dalam. Namun dengan keadaan air sesurut ini hendak dapat RM100 pun susah, malah kebanyakannya pulang dengan tangan kosong dan kerugian kos minyak sekitar RM50.
“Sepatutnya Februari adalah musim ikan ‘mewah’ (bernilai tinggi) seperti terubok dan temoleh, namun disebabkan air surut mendadak, ikan-ikan ini tiada.
“Yang tinggal hanya ikan biasa seperti tenggalan dan lampam,” katanya.
Dia berkata, keadaan sungai di kawasan Jambatan Nordin, Tanjung Belanja di Parit juga amat kritikal apabila hampir keseluruhan alur sungai tertutup dengan pasir dan paras air hanya mencecah lutut kecuali di kawasan yang mempunyai operasi pam pasir.
“Kami difahamkan kemungkinan pelepasan air dari empangan hanya akan dibuat pada Mac depan. Jadi buat masa ini, nelayan terpaksa menanggung kesan pengurangan pendapatan yang drastik,” katanya.
Di Kuala Kangsar pula, keadaan paras sungai yang surut ketara menyebabkan operasi perkhidmatan pelayaran Balai Gambang Cempaka Sari (BGCS) di Jeti Dataran Lembah Kuala Kangsar yang diletakkan di bawah pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) tergendala.
Ia berlaku walau selepas perahu istiadat ikonik pertabalan Sultan Perak yang menjadi tarikan pelancongan di Kuala Kangsar itu kembali beroperasi pada pertengahan November lalu selepas ditutup selama dua tahun susulan struktur bot yang rosak akibat paras surut Sungai Perak.
Ketua Pengurusan Aset dan Fasiliti PKNPk, Mohd Harris Md Rodzi berkata, operasi pelayaran balai gambang itu ditangguhkan susulan paras air yang surut bermula pertengahan Disember lalu dan keadaan memuncak apabila sungai terlalu kering pada 27 Januari lalu.
“Kita sempat beroperasi dalam tempoh beberapa minggu selepas dua tahun operasi tergendala.
“Sejak kembali dibuka pada pertengahan November lalu, kita dapat sambutan sangat menggalakkan memandangkan perahu BGCS itu baharu siap segi pembaikan kerosakan dan penyelenggaraan berskala menyeluruh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




