Lisbon: Pertahanan Portugal, Pepe, bersara dari arena bola sepak selepas pemain berusia 41 tahun itu mengumumkannya hari ini.
Perlawanan terakhir Pepe adalah di Euro 2024, di mana Portugal tewas kepada Perancis melalui penentuan penalti dalam suku akhir, dan dia menjadi pemain tertua yang tampil di saingan terbesar Eropah itu.
Dia membuat 141 penampilan untuk negaranya, memenangi Euro pada tahun 2016, dan menghabiskan 10 musim di Real Madrid di mana dia memenangi tiga gelaran LaLiga dan tiga trofi Liga Juara-Juara, serta dua Piala Dunia Kelab.
Pepe menyertai kelab Sepanyol pada tahun 2007 dari Porto, dan kembali ke kelab Portugal itu pada tahun 2019 di mana dia kekal hingga akhir kariernya, memenangi empat gelaran Liga Primeira dalam tempoh dua musim di kelab berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




