PUTRAJAYA – Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 akan diadakan bermula 23 November hingga 17 Disember depan, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam kenyataan pada Selasa, KPM memaklumkan Ujian Bertutur Bahasa Melayu serta Ujian Bertutur Bahasa Inggeris masing-masing akan diadakan pada 26 hingga 29 Oktober dan 2 hingga 5 November.
Ujian Amali Sains pula diadakan pada 16 hingga 18 November, diikuti Ujian Mendengar Bahasa Melayu pada 30 November dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pada 1 Disember.
“Secara keseluruhan, seramai 420,879 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan seluruh negara.
“Lembaga Peperiksaan akan mengumumkan jadual waktu peperiksaan SPM 2026 yang lengkap dalam waktu terdekat. KPM komited melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan ini dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” menurut kenyataan itu. – Bernama
