mohdsyazwan@hmetro.com.my
Phnom Penh (Kemboja): Sebuah keluarga hanya mampu berteduh, tidur dan mencari rezeki di atas sebuah perahu kecil, sepanjang enam hingga 10 meter serta selebar tiga meter saja.
Itu suasana lebih 150 keluarga Muslim di Sungai Tonle Sap berhampiran Kampung Swai Rekom yang menjadikan perahu satu-satunya ‘rumah’ yang mereka ada dengan terapung atas air, berlantaikan kayu reput dan berlindung hanya dengan bumbung zink berkarat ditelan cuaca.
Siang dan malam mereka menyatu dengan arus sungai yang mana di situlah tempat anak-anak dibesarkan, makanan dimasak, solat didirikan, malah ada yang melahirkan zuriat dalam perahu iaitu ruang yang kita tak sanggup duduki walau sejam.
Mereka hidup tanpa tanah, geran dan alamat tetap namun tetap bersyukur kerana perahu kecil itu adalah ‘syurga’ yang Allah pinjamkan di dunia.
Segala sumber kehidupan diperoleh dari sungai dengan menangkap ikan adalah satu-satunya pekerjaan yang mampu memberi mereka sekitar RM500 hingga RM800 sebulan.
Jika air tenang membawa hasil, mereka akan makan namun jika sungai ‘sunyi’ tanpa ikan, maka berpuasalah mereka kerana tiada pilihan lain untuk menjana pendapatan.
Menurut Mansur Salleh, seorang guru agama tempatan, perahu bukan hanya tempat berlindung, tetapi juga pentas kehidupan bagi komuniti Melayu Champ di sini yang melakukan segala-galanya di atas air.
“Ada yang dua keluarga duduk satu perahu. Sempit, panas, tapi mereka tetap sabar. Mereka sudah biasa hidup begini, malah tidak pernah mengeluh. Cuma satu… mereka tiada pilihan,” katanya ketika ditemui di program pengagihan beras sumbangan Bank Rakyat di Kampung Swai Rekom.
Kehidupan mereka juga jauh daripada kemudahan asas. Elektrik dan air bersih hampir mustahil manakala anak-anak pula ramai yang tidak bersekolah bukan kerana malas namun perlu membantu keluarga menjala ikan.
Menurut rekod, lebih 1,000 keluarga Islam tinggal terapung di sepanjang Sungai Tonle Sap dan Mekong dengan membentuk komuniti kecil yang bergantung sepenuhnya kepada sungai untuk kelangsungan hidup.
Ketua Kampung Swai Rekom, Khalil Ayub mengakui mereka tidak lagi mengharapkan bantuan kerajaan namun cukup bersyukur dengan keprihatinan insan luar, terutama dari Malaysia.
“Kami hanya mampu bergantung pada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar. Syukur, masih ada yang sudi bantu. Kalau tidak, entahlah macam mana nasib kami dan anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Beliau yang juga bertugas sebagai guru agama mengakui cabaran utama ketika ini adalah tiada tanah perkuburan untuk mengebumikan jenazah masyarakat Islam di kawasan terbabit.
“Kami terpaksa menempuh perjalanan sekurang-kurangnya 60 kilometer untuk kebumikan jenazah dengan kos pula dikongsi bersama penduduk kampung jika berlakunya kematian di kawasan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd