sukan@hmetro.com.my
Temerloh: Perak FC terus mempamerkan prestasi cemerlang selepas menewaskan Sri Pahang FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh sebentar tadi.
Tiga gol, masing-masing satu pada babak pertama dan dua gol babak kedua memastikan skuad kendalian Yusri Che Lah membawa pulang tiga mata manakala skuad Tok Gajah terpaksa akur tewas di halaman sendiri.
Peluang terbaik Perak hadir menerusi rembatan Luciano Guaycochea yang juga kapten pasukan tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Azfar Arif Mohd Sukri seawal minit ketiga.
Pada minit ke-10, tandukan pemain import, Clayton Silva sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol Sri Pahang biarpun ketika itu Azfar Arif sudahpun tertewas.
Pada minit ke-25, pemain naturalisasi skuad Tok Gajah, Sergio Aguero hampir menjaringkan gol pendahuluan tetapi bola sepakannya sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol Perak.
Namun, dua minit sebelum berakhir babak pertama, Guaycochea menjaringkan gol pendahuluan selepas bola tandukannya gagal ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Azfar Arif.
Dua minit bersambung babak kedua, Guaycochea menjaringkan gol kedua buat Perak sebelum Muhammad Firdaus Saiyadi menambah derita tuan rumah untuk gol ketiga pada minit ke-61.
Biarpun ketinggalan 0-3, skuad kendalian Fandi Ahmad berusaha untuk mengurangkan defisit gol tetapi pertahanan kental pelawat menyaksikan Sri Pahang dikecewakan di halaman sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




