am@hmetro.com.my
Gopeng: Kerajaan Negeri Perak akan mengikut langkah Johor yang menubuhkan jawatankuasa khas bagi pemulihan akidah pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB).
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan bersidang dalam masa terdekat untuk membincang dan memperhalusi cadangan itu.
Menurutnya, selepas perincian diperoleh, cadangan penubuhan jawatankuasa pemurniaan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Of course (sudah pasti) tindakan itu (tubuh jawatankuasa pemulihan akidah) akan dibuat.
“Ini pun katanya adalah kes yang terlebih dahulu seperti Al-Arqam dan Rufaqa.
“Secara kebetulan, Sultan Perak adalah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), saya dimaklumkan perkara itu akan dibincangkan dalam MKI,” katanya selepas meninjau operasi makmal analisis mineral, Terra Mineral Lab di Persiaran Teknologi, dekat sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan, Kerajaan Negeri Johor menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut GISBH yang ditubuhkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi mesyuaratnya yang ke-275.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dipetik berkata, jawatankuasa itu bertujuan menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISBH.
Dalam perkembangan sama, Saarani memaklumkan, beliau akan menghadap Sultan Nazrin pada Isnin ini bagi mempersembahkan laporan berkaitan kegiatan GISBH yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Terdahulu, beliau dilaporkan berkata, sehingga 26 September lalu, 55 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah berjaya diselamatkan susulan serbuan Op Global membabitkan rumah amal kendalian GISBH di Perak.
© New Straits Times Press (M) Bhd



