Perak dakwa tak diajak bincang keputusan tangguh aksi dengan JDT

Perak dakwa tak diajak bincang keputusan tangguh aksi dengan JDT

sukan@hmetro.com.my

Ipoh: Perak FC mendakwa mereka tidak diberi peluang berbincang berhubung keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan perlawanan antara pasukan itu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pihaknya langsung tidak diberi ruang untuk memberi pandangan sepanjang proses itu.

Menurutnya, Perak FC kecewa terhadap MFL kerana tidak membuat perancangan rapi dan tiada notis awal diberikan berhubung penangguhan itu.

“Lebih 10,000 penyokong baik dari pihak tuan rumah mahupun pelawat hadir dengan perbelanjaan sendiri untuk menyaksikan perlawanan yang sangat dinanti-nantikan ini.

“Kami ingin menekankan bahawa isu utama dalam hal ini adalah kurangnya pertimbangan terhadap para penyokong kedua-dua pasukan yang hadir ke stadium.

“MFL perlu lebih prihatin, konsisten dan praktikal dengan mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh khususnya para penyokong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, aksi Liga Super antara skuad Seladang dengan Harimau Selatan di Stadium Perak, malam tadi ditangguhkan MFL atas faktor cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak mengizinkan.

Lebih menghampakan, ini adalah kali kedua pertembungan pasukan bimbingan Yusri Che Lah serta Hector Pablo Bidoglio ditunda ekoran cuaca hujan, selepas perlawanan asal pada 17 Ogos lalu.

Mengulas tentang keadaan padang di Stadium Perak yang didakwa teruk, Abdul Azim menjelaskan, Perak FC sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk penilaian kesesuaian venue perlawanan.

“Stadium Perak sudah dinilai dan diluluskan penggunaannya sebelum musim Liga-M 2024/25 bermula serta sebelum perlawanan yang dijadualkan semalam.

“Sehingga jam 6 petang semalam, pemeriksaan menunjukkan bahawa perlawanan tidak dibatalkan.

“Walaupun stadium ini tidak diuruskan secara langsung oleh Perak FC, kami mengakui dan menyokong keperluan untuk penambahbaikan padang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan Perak FC akan bermain di Stadium Manjung bagi baki musim 2024/2025 bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penaiktarafan padang Stadium Perak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top