Perak FA lakar kemenangan sulung di Ipoh

Perak FA lakar kemenangan sulung di Ipoh
Kamal Arif Azrai (tengah) meraikan jaringan kedua Perak FA bersama rakan-rakan sekali gus menyaksikan kemenangan sulung pasukannya dalam Liga A1 Semi-Pro di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor di sini pada Jumaat. - Foto: Perak FA

Kamal Arif Azrai (tengah) meraikan jaringan kedua Perak FA bersama rakan-rakan sekali gus menyaksikan kemenangan sulung pasukannya dalam Liga A1 Semi-Pro di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor di sini pada Jumaat. – Foto: Perak FA

BERAKSI di venue baharu, Perak FA berjaya mencatat kemenangan sulung selepas menewaskan Perlis GSA FC 2-0 dalam saingan Liga A1 Semi-Pro di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor pada Jumaat.

Perak FA mendahului perlawanan seawal minit pertama menerusi import mereka, Christian Chukwu, yang melepaskan rembatan terus ke gawang lawan.

Tersentak dengan gol awal itu, Perlis GSA FC menggandakan asakan ke kubu tuan rumah bagi mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, pertahanan ampuh yang ditunjukkan benteng Perak FA memastikan mereka tidak mudah dibolosi.

Di sebalik asakan bertali-arus pasukan pelawat, Perak FA turut mendapat beberapa peluang untuk menambah jaringan namun percubaan mereka mudah ditangkap penjaga gol Perlis GSA FC.

Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pengadil, Muhamad Ridzuan Husni, terhadap pemain Perlis GSA FC, Faizal Kadir kerana menarik pemain lawan.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-0, Perak FA mendahului Perlis GSA FC.

Bersambung babak kedua, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan mengatur gerakan selain melakukan beberapa pertukaran pemain.

Perak FA berpeluang menambah jaringan menerusi penyerang Afifin Arfa, namun rembatan beliau tersasar melepasi palang gol.

Perlis GSA FC juga hampir menjaringkan gol menerusi pemain tengah, Haziq Mu’iz, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Perak FA, Syazwan Syazany Ahmad Shafei.

Suasana di padang semakin tegang apabila dua pemain dari kedua-dua pasukan dilayangkan kad kuning selepas insiden pertengkaran, sebelum permainan kembali tenang.

Pasukan tuan rumah sekali lagi mengejutkan Perlis GSA FC dengan jaringan kedua pada minit ke-78 apabila Kamal Arif Azrai menanduk masuk hantaran sepakan penjuru yang diambil J. Tamotehran.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan 2-0 berpihak kepada Perak FA, sekali gus menebus kekecewaan selepas tewas dan seri dalam dua aksi terdahulu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Scroll to Top