Perak FC sambung kontrak Afolabi

KUALA LUMPUR – Kelab Perak FC bersetuju menyambung kontrak pemain import dari NigeriaSunday Kolawole Afolabi selama dua tahun lagi.

Persetujuan itu dibuat setelah pihak Perak FC mengakui berpuas hati dengan persembahan dan komitmen tinggi yang dipamerkan Afolabi terhadap pasukan itu.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin yang turut kagum dengan usaha pemain berusia 23 tahun itu untuk menyesuaikan diri dengan budaya tempatan.

“Sunday (Afolabi) datang kepada kami sebagai bakat asal tetapi beliau seorang yang berhati besar dan sentiasa menginginkan untuk menang.

“Kami mahukan sikap seperti ini, untuk membawa kelab kembali ke zaman kegemilangannya. Beliau masih muda dan mengambil masa untuk mempelajari budaya Malaysia.

“Semangat dan telatah beliau adalah apa yang kami perlukan untuk membina semula pasukan lama yang dirindui peminat ketika separuh musim ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Afolabi pula mengakui gembira dengan keputusan pihak pengurusan Perak FC.

“Saya sangat teruja apabila menjadi sebahagian daripada Perak FC dan gembira dengan sambutan yang mereka berikan kepada saya. Saya datang untuk meningkatkan prestasi kerjaya saya.

“Hubungan antara saya dan pasukan sangat mesra dan saya akan terus bersungguh-sungguh pada setiap perlawanan,” katanya.

Sebagai rekod, Afolabi menyertai Perak FC pada Jun 2022 dan pernah bermain di beberapa kelab di Portugal, Slovakia dan Republik Czech.

Terdahulu ketika aksi berdepan Kelantan FC, gelagat Afolabi menari dan cuba membuat provokasi mencuri perhatian umum sebelum Perak FC menang 2-1 dalam aksi Liga Perdana pada Rabu lalu. – MalaysiaGazette