mdroji@bh.com.my
Kuching: Kontinjen Perak mengesahkan status sebagai ‘maaveeran’ silambam apabila apabila dinobatkan juara keseluruhan acara itu di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Gelaran ‘maaveeran’ yang bermaksud pahlawan terhebat dalam bahasa Tamil selayaknya diberi selepas kontinjen itu meraih 10 pingat iaitu enam pingat emas, dua perak dan dua gangsa.
Tempat kedua diraih kontinjen Pulau Pinang yang berjaya mengutip tiga pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.
Selangor pula berada di tempat ketiga keseluruhan dengan tiga emas dan empat gangsa.
Wilayah Persekutuan berada di kedudukan keempat pungutan pingat acara silambam dengan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Kedah pula berjaya meraih masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa.
Tuan rumah, Sarawak yang julung kali menyertai acara seni mempertahankan diri masyarakat India itu berjaya meraih dua pingat perak dan satu gangsa.
Terengganu pula membawa pulang dua pingat perak dan tiga gangsa manakala Sabah satu pingat perak dan satu gangsa.
Melaka menamatkan saingan dengan tiga gangsa, manakala Johor dan Perlis masing-masing dengan satu gangsa pada saingan silambam yang melabuhkan tirainya di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd