firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Perak FC memilih Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai gelanggang The Bos Gaurus untuk aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super, pada Ahad ini.
Sebelum ini, aksi membabitkan kedua-dua pasukan yang sepatutnya diadakan di Stadium Perak pada Ogos lalu terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat dan keadaan padang yang tidak sesuai.
Situasi sama berlaku lagi pada bulan lalu dan ia memaksa perlawanan antara Perak FC dan JDT ditangguhkan buat kali kedua.
Bagaimanapun, aksi yang sepatutnya diadakan di Stadium Manjung pada Ahad ini selepas Stadium Perak menjalani proses penukaran padang tidak dapat dilangsungkan di Manjung atas faktor keselamatan yang agak longgar di venue terbabit.
Maka, MFL meminta Perak FC untuk menamakan venue alternatif dan kelab terbabit memilih beraksi di SSI.
“MFL sebelum ini sudah meminta Perak FC untuk menamakan venue alternatif berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi ini selain untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang mungkin akan menangguhkan lagi jadual Liga Super bagi separuh musim ini yang masih belum lengkap.
“Sebagai maklum balas kepada permintaan MFL itu, Perak FC menamakan SSI sebagai gelanggang mereka untuk perlawanan tertunda tersebut.
“Sebelum ini dua pertemuan Perak FC dengan JDT pada 17 Ogos 2024 dan 5 Oktober 2024 terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat dan keputusan yang dibuat kali ini adalah untuk memastikan undian Piala Malaysia 2024-2025 pada 11 November 2024 dapat berjalan seperti yang dirancang,” kata pihak MFL.
Untuk rekod, Malaysian University FT (MUFT) pernah menjadikan SSI sebagai gelanggang tuan rumah menentang JDT dalam saingan Piala FA 2024.
Sementara Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) turut melakukan perkara sama untuk aksi liga menentang Harimau Selatan pada 22 September lalu, disebabkan kerja-kerja penaiktarafan di Stadium Sultan Muhammad IV masih belum selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd



